JERANTUT:  DAP  dijangka hanya menunjukkan belang sebenar selepas pilihan raya umum (PRU) sama seperti yang berlaku semasa pembangkang menerajui pentadbiran Perak suatu ketika dahulu, kata Ketua Pemuda Umno.

Menurut Khairy Jamaluddin, walaupun tidak berada dalam senarai pimpinan tertinggi pakatan pembangkang, DAP dilihat ‘menyembunyikan kuku’ dengan memain peranan di belakang tabir.

“Kalau kita lihat, DAP tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan teratas dan apabila kuasa sebenar tidak diwakili dalam kepimpinan teratas saya menjangkakan akan berlaku kecelaruan,” katanya.

“Kita tidak boleh serahkan kuasa ini kepada pihak yang tidak ada kepimpinan yang jelas, kerana ia tidak akan berfungsi selain tidak tahu siapa yang akan buat keputusan…apabila makhluk tiga kepala, memang susahlah nak hidup kerana tidak tahu arah mana yang hendak pergi.

“Bagi saya jika kita hendak kepimpinan yang stabil dan jelas hala tuju, hanya satu pilihan kita iaitu Barisan Nasional,” jelasnya.

Pembangkang pada Khamis  mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) sebagai Ketua Umum) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) sebagai Presiden.

Menurutnya, pemilihan tiga pemimpin Melayu daripada dua parti berbeza menerajui Pakatan Harapan ialah satu lantikan taktikal dalam usaha meraih sokongan Melayu, selain hanya akan menguntungkan DAP.

Ujar Khairy, keadaan itu menunjukkan kecelaruan dan tidak ada kesepakatan dalam pakatan pembangkang sehingga terpaksa mewujudkan tiga jawatan teratas untuk memimpin parti berkenaan walaupun tidak jelas fungsinya.

“Dia tahu bahawa sekarang ini untuk mendapat sokongan rakyat, mereka  sangat memerlukan pengundi Melayu, jadi saya lihat pelantikan ini satu pelantikan taktikal yang semata-mata hanya untuk menunjukkan mereka mempunyai kepimpinan Melayu,” katanya.

“Hakikat sebenarnya kita tahu siapa pegang kerusi yang paling banyak, jadi kita jangan terpedaya dengan dengan taktik berkenaan kerana saya percaya di sebalik tabir yang akan menentukan dasar dari segi bilangan kerusi adalah Dap,” katanya seperti dipetik umno-online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini, semalam.