Aras baharu julang Rainforest World Music Festival — Abang Jo

KUCHING: Dengan pembaharuan konsep dan kaedah penganjuran, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin Rainforest World Music Festival di Santubong akan terus menjadi tumpuan ramai pada tahun-tahun akan datang.

Menurutnya, pada tahun ini, bukan sahaja para pengunjung berpeluang menikmati persembahan hiburan, malah menghayati Rainforest Fringe Festival, yang dianjurkan di Kompleks Pelancongan Sarawak.

“Menambah baik acara pada tahun ini ialah pesta makanan, yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dari negara berbeza, selain makanan masyarakat asli.

“Ini termasuk makanan dari Jepun, Korea malah Jawa; yang pasti menjadi tarikan pelancong dari negara berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak festival semalam.

Foto Jiwa Bakti

Abang Johari yang juga bekas Menteri Pelancongan Negeri ditemani oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Jelasnya lagi, beliau juga berbangga dan merakamkan tahniah kepada Abdul Karim apabila berjaya memastikan khidmat jalur lebar dengan kelajuan yang tinggi disediakan.

“Kita berterima kasih kepada pihak Sacofa Sdn Bhd dan Maxis kerana menyediakan kemudahan ini.

“Ia akan membolehkan para pengunjung mengambil video dan foto, dan memanjangnya ke media sosial dan rakan atau keluarga di negara asal.

“Ini penting untuk proses promosi berterusan aktiviti ini, selain menyelesaikan kegusaran yang dialami oleh pengunjung sebelum ini.

Dalam sidang media yang sama, Abang Johari turut mengumumkan hasrat untuk menaik taraf Kampung Budaya Sarawak, dengan kemudahan terkini dan mesra teknologi.

“Kampung ini telah berusia lebih 30 tahun, justeru saya akan berbincang dengan Abdul Karim dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak berhubung cadangan yang sesuai untuk proses naik taraf ini,” tambahnya.r

Festival yang berlangsung selama tiga hari ini melibatkan 27 kumpulan, yang memaparkan pelbagai jenis muzik dan irama.

Antaranya termasuklah At Adau dari Sarawak, Abavuki (Afrika Selatan), Belem (Belgium) dan Ba Cissoko (Guinea).

Turut tampil Hanggai (China), Pareaso (Korea), Romengo (Hungary) dan Svara Samsara (Indonesia).

Sebanyak 20 ribu tiket berjaya dijual pada tahun ini, berbanding 18 ribu pada tahuh lalu. – Sarawakvoice