17 ribu rumah ditawarkan Pr1MA di Sarawak, siapa dahulu dia dapat

KUCHING: Perbadanan PR1MA akan membina lebih 17,000 unit rumah Sarawak menerusi 15 projek yang sedang dirancang dan dilaksanakan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Menurutnya, keseluruhan projek pembangunan itu dianggarkan bernilai RM5.5 bilion.

“Kita yakin rumah-rumah ini akan mendapat sambutan yang tinggi, apatah lagi sejak Februari lalu, PR1MA telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF); yang menyediakan pembeli rumah PR1MA kepada akses yang lebih baik dan jumlah pinjaman yang lebih tinggi.

“Ini termasuk ansuran pinjaman bulanan pada kadar yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Terbuka PR1MA Sarawak di sini.

Menerusi SPEFkatanya, pembeli rumah dapat menikmati ansuran bulanan serendah RM800 sebulan atau RM30 sehari, tertakluk kepada terma, syarat dan kelayakan.

“Mereka yang berminat boleh memohon skim ini melalui bank rakan PR1MA seperti Maybank, CIMB, RHB dan AmBank.

Skim ini katanya, direka khas untuk pembeli rumah PR1MA dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, KWSP dan institusi kewangan rakan kongsi.

“Ia bertujuan meningkatkan peluang pembeli rumah mendapatkan pinjaman rumah, terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama.

“Ia turut menyediakan akses kepada jumlah pinjaman yang lebih tinggi daripada yang mereka mungkin layak melalui pinjaman konvensional.

Menurut Abdul Mutalib, sempena Hari Terbuka itu, pihaknya menawarkan
1,581 unit rumah dan mereka yang berminat untuk boleh mengunjungi Hari Terbuka PR1MA di Metrocity, Matang hari ini. – Sarawakvoice