ISTANBUL:  Susulan percubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai tahun lalu, Turki semalam mengumumkan memecat lebih 7,000 anggota polis, tentera dan kakitangan kerajaan yang lain di bawah satu perintah baharu.

Tindakan itu diambil dengan menggunakan kuasa undang-undang darurat  yang setakat ini menyaksikan kira-kira 50,000 orang ditahan dan lebih 100,000 orang sama ada dipecat atau digantung kerja

“Seramai 7,563 orang, termasuk polis dipecat dalam operasi pembersihan terbaharu itu.

“Pihak berkuasa Turki turut menarik balik pangkat 342 pesara tentera,” lapor agensi berita Anadolu.

Akhbar harian Hurriyet  sebelum ini melaporkan keseluruhannya 7,348 orang, termasuk 2,303 polis dipecat.

Turki berjanji membersihkan ‘virus’ dalam institusi kerajaan dan menyalahkan cubaan rampasan kuasa gagal itu terhadap ulama di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, namun beliau menafikan tuduhan itu.

Perintah baharu itu dikeluarkan sehari sebelum Turki melepasi tempoh setahun cubaan rampasan kuasa tentera terhadap Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Cubaan rampasan kuasa setahun lalu itu hanya berlangsung lima jam.

Jeneral tentera Turki,  Hulusi Akar menjadi tahanan di ibu pejabat tentera di ibu negara Ankara selepas percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Tentera telah mengisytiharkan undang-undang tentera dan perintah berkurung,

Tentera yang belot mendakwa ketika itu rampasan kuasa  dilancarkan bagi memastikan dan mengembalikan perintah perlembagaan, demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan dan membiarkan keluhuran undang-undang di negara ini diguna pakai, selain memulihkan apa-apa perkara yang menggugatkan negara. – Sarawakvoice