Siapa boss Pakatan Harapan, Mahathir atau Anwar?

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan disifatkan sebagai pakatan cacamarba dengan menimbulkan persoalan siapakah yang bakal lebih berkuasa, apabila meletakkan tiga nakhoda dalam satu kapal dalam struktur baharunya yang diumumkan malam semalam.

“Siapakah yang lebih berkuasa dalam membuat sebarang keputusan antara Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden kerana tidak ada skop kuasa dan autoriti yang jelas antara ketiga-tiga jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mereka berbulan-bulan mengadakan perbincangan dan akhirnya itu sahaja yang mereka dapat dengan mengambil jalan selamat melantik tiga ‘kepala’ untuk menerajui Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan  malam semalam melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih di penjara atas tuduhan liwat sebagai Ketua Umum, manakala Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad  sebagai Pengerusi. Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail pula dilantik sebagai Presiden.

“Struktur baharu ini juga boleh dikatakan untuk mengambil hati Tun Mahathir bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan cacamerba ini menang pada Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya.

Lebih melucukan, katanya, apabila ketiga-tiga pemimpin terbabit juga mempunyai haluan yang berbeza.

Jelasnya, Anwar menubuhkan PKR kerana menentang pentadbiran Tun Mahathir yang dikatakan zalim dan Anwar sendiri pernah ditumbuk sehingga lebam mata yang akhirnya menjadi logo PKR itu sendiri.

Manakala Tun Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana agenda peribadi untuk menjadikan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri, katanya.

“Aneh sebenarnya apabila Tun Mahathir kini berada di bawah telunjuk Anwar sekiranya jawatan Ketua Umum lebih tinggi daripada Pengerusi di bawah struktur baharu Pakatan Harapan ini.

“Sementara Wan Azizah yang menjadi bidan terjun dalam politik kerana mahu memperjuangkan suaminya dalam penjara dan tidak pernah kisah dengan nasib rakyat di Permatang Pauh dan Kajang, hanya menjadi ‘seat warmer’ kepada suaminya, Anwar,” katanya.

“Kini ketiga-tiga mereka berkawan baik – dalam keadaan amat janggal – dengan matlamat masing-masing yang sebenarnya keliru dengan perjuangan masing-masing,” tambahnya. Dalam KeadilanDaily online semalam, ia melaporkan berita bertajuk ‘Anwar pimpin Pakatan Harapan, dibantu Mahathir’.

Hakikat ini, kata penganalisis, jelas membayangkan pendirian PKR berhubung pelantikan itu.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam mengumumkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu gabungan itu untuk menumbangkan rejim Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang,” kata laporan itu.

Berikut ialah senarai penuh struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu:

Ketua Umum:

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:

Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Lim Guan Eng

Tuan Haji Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:

Datuk  Seri Mohamed Azmin Ali

Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Chong Chieng Jen

Salahuddin Ayub

— Sarawakvoice