SPRM siasat pembelian hotel di London oleh FIC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara tahun 2013 dan 2015.

SPRM berkata berdasarkan maklumat siasatan awal, FIC dipercayai telah membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurut suruhanjaya itu, pasukan penyiasatnya telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat yang diperolehi.

Katanya beberapa orang saksi penting akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Arahan membuka kertas siasatan itu dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad susulan maklumat terbaharu yang diperolehi suruhanjaya itu berhubung pembelian hotel tersebut. Bernama