Rakyat Malaysia jalani hukuman mati kerana mengedar dadah di Singapura

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 29 tahun yang disabitkan kesalahan mengedar dadah di Singapura hari ini menjalani hukuman gantung sampai mati di Kompleks Penjara Changi, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura.

Bernama difahamkan mayat Prabagaran Srivijayan akan menjalani upacara pembakaran lewat hari ini di Krematorium Mandai.

CNB berkata Prabagaran ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 12 April, 2012, selepas dua peket mengandungi 22.24 gram diamorphine (heroin tulen) ditemukan di dalam kenderaan berdaftar di Malaysia yang dipandunya.

Dia disabitkan kesalahan menyeludup masuk 22.24 gram diamorphine ke Singapura pada 22 Julai, 2014, dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi dua bulan kemudian, katanya.

 CNB berkata Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika amaun diamorphine yang diseludup masuk melebihi 15 gram.

CNB berkata rayuan Prabagaran terhadap sabitan dan hukuman mati dihadapinya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2 Okt, 2015.

Pada 8 Jan, 2016, dia membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan buat kali kedua menerusi usul jenayah untuk Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusannya terhadap rayuannya, atas alasan peruntukan dalam Akta Penyalahgunaan Dadah yang diguna pakai untuk menjatuhkan hukuman mati ke atasnya adalah tidak berperlembagaan.

Pada 2 Dis tahun sama, usul jenayah itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 11 Julai, 2017, CNB berkata kes Prabagaran dibawa ke Mahkamah Rayuan buat kali ketiga menerusi usul jenayah atas alasan bahawa rayuannya sedang menunggu pendengaran di Mahkamah Rayuan Malaysia untuk memulakan prosiding terhadap Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Semalam, usul jenayah itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Petisyennya bagi pengampunan tidak berjaya, menurut CNB.

CNB berkata Prabagaran telah diberikan ruang menjalani proses sepenuhnya mengikut undang-undang, dan dia telah diwakili peguam bela sepanjang proses itu. Bernama