Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan bukti belum wujud konsensus

KUALA LUMPUR: Kewujudan Perdana Menteri Transit menunjukkan belum wujud konsensus yang serius antara komponen Pakatan Harapan, kata Pemuda Umno Kedah.

Malah, kata Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin kecelaruan yang bakal dibawa oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli keluarganya akan membawa padah kepada struktur baharu Pakatan Harapan.

Ketuanya, yakin kegagalan Pakatan Harapan menamakan calon Perdana Menteri yang “realistik” membuktikan masih wujud prasangka, dan ketidakpercayaan politik antara mereka.

Dalam sidang akhbar selepas tengah malam semalam, Pakatan Harapan mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan Mahathir sebagai Pengerusi.

“Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan imej kestabilan, dan persefahaman bayangan kerajaan alternatif yang baik kepada rakyat,” jelasnya.

Menurut Shaiful, ia juga perlu memberi keyakinan kerajaan alternatif tidak akan goyah serta mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.

Katanya, umum sedia maklum bahawa kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri adalah begitu kecil kerana faktor beliau masih berada di dalam tempoh hukuman dan umur.

Shaiful percaya  DAP kekal menjadi “broker kuasa” paling berpengaruh di dalam Pakatan Harapan dan persetujuan untuk tetap meletakkan Anwar sebagai Presiden dan Mahathir sebagai Pengerusi hanyalah untuk “membeli” keyakinan politik Melayu bagi PRU yang akan datang. – Sarawakvoice