Pakatan Harapan abaikan bumiputera Sarawak,  Sabah

Pelantikan kepemimpinan dan  struktur Pakatan Harapan yang dibentuk baru-baru ini  memperlihatkan berlakunya kompromi  dan  melalui perbincangan yang panjang khususnya dalam  menentukan tokoh yang bakal  mengetuai gabungan tersebut.

Yang penting mereka mengharapkan  struktur yang dikemukakan pada kali ini benar-benar bakal memberikan impak yang besar  untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perubahan  dalam bentuk struktur ini diharapkan membawa perubahan yang besar  dalam konteks meraihkan undi sebanyak mungkin.

Mereka juga cuba mengelakkan pergeseran secara dalaman daripada struktur baharu ini. Yang penting setiap parti mempunyai pengagihan yang menurut mereka adalah terbaik buat masa kini.

Struktur Baharu

Berdasarkan struktur baharu ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum.  Pelantikan ini  sesuai untuk mengiktiraf perjuangan Anwar yang  lebih lama daripada penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad. Seterusnya, menghapuskan suara kebimbangan bahawa Tun Mahathir lebih dominan dalam struktur tersebut.

Sebaliknya, Tun Mahathir  dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. Pelantikan ini dianggap sebagai simbol pengiktirafan kekananan Tun Mahathir dan suatu pengiktirafan beliau sebagai negarawan.

Pada masa yang sama pelantikan ini dari segi status dan hierarki  ialah  suatu bentuk Tun Mahathir sebagai  simbol perpaduan dalam Pakatan Harapan yang selama ini Anwar telah memainkan peranan sebagai simbol perpaduan dalam Pakatan Harapan.

Berdasarkan kedudukan jawatan, dari segi kebebasan tindak-tanduk Anwar lebih banyak kebebasan  dan jawatan beliau umpama ketua eksekutif.   Namun, Anwar perlu akur akan nasihat dan pandangan Tun Mahathir selaku Pengerusi.

Tugas Tun Mahathir selain sebagai simbol perpaduan dalam Pakatan Harapan, beliau juga akan memastikan kelancaran, nasihat dan memberikan idea utama untuk gerakan Pakatan Harapan.

Siapakah lebih berkuasa?

Pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden pula memberikan persoalan, siapakah yang lebih berkuasa? Adakah Ketua Umum atau Presiden? Atau, mungkinkah Tun Mahathir yang dilihat secara lapis pertama sebagai simbol akan tetapi lebih berkuasa atau mempunyai  kuasa-kuasa tertentu yang mampu mempengaruhi keseluruhan majlis tersebut?

Kepemimpinan Pakatan Harapan sewajarnya menjelaskan  hal ini kepada pihak umum agar rakyat tidak terkeliru dengan ruang lingkup kuasa yang ada termasuk kuasa eksekutif atau kuasa yang ada dalam membuat keputusan.

Pelantikan DAP

Dalam konteks bilangan ahli Dewan Rakyat, parti DAP merupakan  penyumbang yang terbesar. Namun dalam struktur ini DAP, hanya diwakili oleh Lim Guan Eng selaku Timbalan Presiden manakala Chong Chieng Jen sebagai Naib Presiden.

Mungkinkah  ini cuba membuktikan bahawa Pakatan Harapan tetap didominasi oleh orang Melayu meskipun bilangan ahli parlimen DAP merupakan  bilangan yang terbanyak pada waktu ini.

Atau, adakah ini suatu persediaan pada masa  akan datang bahawa lebih ramai ahli parlimen nanti akan  didominasi oleh orang Melayu?

Sudah pasti Tun Mahathir dan Anwar  lebih mengetahui strategi politik mereka.

Bumiputera Sabah dan Sarawak Terpinggir?

Selepas berbulan-bulan perancangan struktur baharu ini, ternyata bumiputera Sabah dan Sarawak tidak  dilihat sebagai potensi keutamaan undi atau sokongan mereka.

Buktinya, tidak ada penglibatan ahli bumiputera Sabah dan Sarawak dilantik.

Undi Bumiputera kedua-dua negeri ini boleh memberikan kesan yang sangat terhad kerana tidak ada wakil bumiputera dalam struktur Pakatan Harapan ini.

Pakatan Harapan dilihat mengabaikan bumiputera Sabah dan Sarawak dalam konteks ini mungkin disebabkan faktor Pakatan Harapan tidak berpeluang besar untuk meraih undi bumiputera Sabah dan Sarawak.

Atau Pakatan Harapan di Sabah dan Sarawak lebih mengharapkan pengundi Cina daripada bumiputera?  Adakah tugas selebihnya di Sabah hanya diletakkan  atau digalas oleh Parti Warisan Sabah?

Mengapakah Parti Warisan Sabah tidak dilantik sebagai rakan bersekutu dalam struktur Pakatan Harapan?  Sedangkan hal seumpama ini dapat mengukuhkan jaringan dan strategi politik untuk bersatu menentang BN pada PRU akan datang.

Bumiputera Sarawak pula dilihat sebagai penyokong kuat Barisan Nasional dan terus diabaikan pelantikan  etnik bumiputera Sarawak.

Namun dari satu segi,  menunjukkan  keampuhan BN Sarawak menjauhkan Pakatan Harapan untuk bertapak dalam kalangan bumiputera Sarawak. – Sarawakvoice