MRT bakal rancakkan aktiviti  ekonomi Sg Buloh-Kajang

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) yang akan beroperasi sepenuhnya mulai Isnin ini bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi di sepanjang jajaran 51 kilometer itu.

Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif (CIPD) Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Amran Hamzah berkata, ini berikutan trend masa kini yang mahukan kepelbagaian kemudahan di kawasan yang ada pengangkutan awam efisien.

“Perhubungan jaringan yang baik telah menarik minat pemaju hartanah untuk membangunkan pelbagai projek termasuk pusat beli-belah, perumahan dan ruang pejabat.

“Berdasarkan pengalaman pembangunan LRT, kawasan yang mempunyai pengangkutan yang baik akan menjadi tumpuan orang ramai untuk mendiami atau bekerja di kawasan tersebut disebabkan kelebihan dari segi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata kewujudan laluan MRT itu juga mampu menarik pasaran yang lebih besar, sekaligus merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Selain itu, kewujudan kawasan penempatan baharu juga akan berlaku dengan pesat selagi terdapat ruang untuk aktiviti pembangunan berlaku di sepanjang laluan SBK itu.

Malah, kata Amran, ini ditambah dengan faktor laluan SBK yang dibina diintegrasikan dengan stesen Komunter, Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Monorel bakal menarik mereka di pinggir bandar untuk berulang-alik ke pusat bandar, selain menghidupkan aktiviti malam dan informal di kawasan tertentu.

Kawasan yang dijangka mengalami pembangunan pesat paling ketara adalah di Sungai Buloh, Cheras, Taman Mutiara dan Bandar Tun Hussein Onn yang bakal dibangunkan dengan pusat beli-belah, ruang pejabat dan kawasan perumahan baharu susulan faktor kepadatan penduduk dan masih terdapat ruang yang boleh dimaksimumkan pembangunannya.

Pembukaan fasa ke-2 laluan Semantan-Kajang sepanjang 30km ini akan melengkapkan Laluan SBK sepanjang 51km dengan melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni.

Laluan SBK itu bakal menghubungkan pengguna dengan 19 sekolah, 22 tempat beribadat, 8 kemudahan penjagaan kesihatan, selain 44 pusat beli-belah.

Sementara itu pemaju hartanah Datuk Seri Lim Keng Cheng mengakui projek MRT itu telah memberikan kelebihan kepada syarikatnya untuk membangunkan sebuah pusat beli-belah di Cheras.

Katanya pusat beli-belah itu yang dijadualkan siap tahun depan berhubung terus dengan stesen MRT Taman Mutiara itu bakal menjadi 1 lagi tarikan kepada penduduk Cheras dan sekitarnya.