“Saya berpuas hati dengan prestasi beliau sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

“Dan saya akan bisikkan kepada Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) agar nama beliau dikekalkan pada Pilihan Raya Umum akan datang,” umum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Padang KPS di Sri Aman pada Khamis.

Beliau merujuk kedudukan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Dengan pengumuman ini bermakna Masir, 63 tahun merupakan antara calon pertama PRS yang disahkan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Masir mula menjadi ahli Parlimen Sri Aman pada tahun 2008, apabila beliau dipilih menggantikan penyandang ketika itu, Jimmy Donald Lim.

Pada pilihan raya tersebut, Masir memperoleh 9,700 undi berbanding lawannya, calon Bebas, Cobbold Lusoi yang mencipta 5,448 undi.

Pada pilihan raya 2013, Masir terus mempertahankan kerusinya dengan kemenangan lebih besar apabila menyambar 12,168 undi berbanding lawannya dari Pakatan Rakyat, Nicholas Mujah Ason, yang sekadar mengutip 5,618 undi.

Kesetiaan Ahli Parlimen keturunan Iban berbadan kecil dan bersuara lembut ini kemudian dibalas oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tan Sri Adenan Satem apabila mencalonkannya sebagai pengganti Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Ini berikutan kenaikan pangkat Ahli Parlimen Santubong tersebut sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, susulan rombakan kabinet yang paling getir dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 28 Julai 2015.

Masir bagi Ahmad Zahid, seorang yang tidak banyak bercakap tetapi cekap bekerja. Kerana itu, tiada pembahagian tugas dibahagikan di antara Masir dan seorang lagi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dari segi portfolio.

” Kami “tapau’ semua. Dan sekiranya seorang Timbalan bercuti atau sibuk, Timbalan yang seorang lagi boleh mengambil alih,” katanya.

Dengan pengumuman ini, anak kelahiran Kampung Lachau, Sri Aman ini dijangka tidak akan berhadapan masalah besar untuk mengekalkan kerusinya.

Beliau yang akan terlibat dalam pembentangan Akta Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) pada hujung bulan ini malah dilihat cukup bersedia, apatah lagi selama ini telah menabur khidmat yang cukup baik kepada para pengundinya.

Dengan karektor mudah didekati, Masir yang berkelulusan ijazah Sains Biokimia daripada Universiti Malaya dan sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada UNIMAS pasti akan terus menerima lambakan sokongan.

Ini kerana rakyat amat menyenangi keramahannya, yang menjadi sifat alami sewaktu menjadi Pegawai Daerah Lubok Antu pada 2007.

Dengan pengumuman ini juga, kini tiggal lima kerusi milik PRS yang belum diputuskan.

Satu kerusi pasti dikorbankan bagi memberi ruang kepada calon baharu, dan angin politik yang bertiup kencang kini menamakan bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Doris Sophia Brodie sebagai calon baharu tersebut.

Persoalannya, siapa yang akan diminta untuk berundur secara terhormat? – Sarawakvoice