Kerajaan kesal dituduh zalim

KUALA LUMPUR:  Kerajaan kesal dengan tindakan pembangkang menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang.

Tuduhan pembangkang tanpa bukti itu amat menyedihkan kerajaan  kata  Perdana Menteri, justeru meminta pembangkang berhenti berbuat demikian.

Menurut Datuk Seri Najib Razak, kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat  tanpa mengira sesebuah negeri diperintah pembangkang atau  Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk semua negeri setiap tahun, termasuk negeri diperintah pembangkang,”” katanya menerusi catatan di laman blognya, www.najibrazak.com, semalam.

YAB Perdana Menteri Najib Razak beramah mesra bersama para hadirin di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Khazanah Nasional di Kuala Lumpur

“Dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain.

“Malah jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun. Pada 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion,” katanya.

Najib menjelaskan daripada 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion termasuk peruntukan RM378.85 juta disebabkan kekurangan akaun mengurus, diikuti Pulau Pinang yang menerima RM950.44 juta untuk tempoh sama.

Menurutnya, Selangor pula menerima RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun.

Najib menjelaskan,  jumlah berkenaan tidak termasuk projek kerajaan Persekutuan yang bernilai  berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan projek lain. – Sarawakvoice