Harga rumah teres di bandar besar S’wak akan cecah RM1 juta

KUCHING: Melihat kepada drastiknya peningkatan harga rumah di negeri ini, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) mengaju beberapa cadangan menstabilkan harga rumah kepada Kerajaan Negeri.

Setakat ini, menurut Presiden Sheda Joseph Wong pihaknya masih menunggu maklum balas Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkaitan cadangan berkenaan.

Sheda meramalkan sekiranya tiada perubahan dibuat dalam syarat perancangan dengan semakin sedikit rumah mampu milik dibina, kos rumah teres dua tingkat di Kuching meningkat lebih RM1 juta dalam masa lima hingga 10 tahun mendatang.

Kini, menurut Wong, kumpulan M40 dengan pendapatan isi rumah sederhana antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan berdepan isu pemilikan rumah sendiri, apabila harta hartanah di bandar besar di negeri ini melambung tinggi.

Ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Hartanah Sheda Ke-20 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat, Wong berkata, kerajaan dan pemaju wajar membina lebih banyak rumah mampu milik.

Ini kerana masih 40 peratus permintaan memerlukan rumah berharga sekitar RM250,000 hingga RM350,000.

Eskpo Hartanah Sheda 2017 berlangsung  14-16 Julai bermula 9 pagi hingga 9 malam di BCCK. – Sarawakvoice