KUALA LUMPUR: Gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan dua pemimpin itu sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata Tun Dr Mahathir dan Anwar yang sebelum ini merupakan musuh, kini bersatu demi melunaskan agenda mereka.

“Kerana kuasa, mereka sanggup berbuat apa sahaja. Mereka hanya nak menang dan berkuasa malah sanggup buat apa sahaja. Dahulu Tun Dr Mahathir masukkan Anwar dalam penjara, tetapi sekarang berbaik pula,” katanya kepada pemberita pada jamuan malam dan perasmian Bengkel Persediaan dan Simulasi Perbahasan Parlimen Mahasiswa di sini malam tadi.

Beliau mengulas perkembangan PH yang menamakan beberapa barisan kepimpinan baharu, Khamis.

Majlis Presiden PH dilaporkan mengumumkan struktur kepimpinan PH yang baharu iaitu Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai  presiden gabungan pembangkang itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menasihatkan golongan muda dan mahasiswa tidak terpedaya dengan pelbagai gimik politik oleh pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Gimik politik akan berterusan. Anak muda yang mewakili 40 peratus daripada undi rakyat hendaklah berwaspada dengan maklumat daripada media sosial. Banyak benda-benda tidak betul yang masuk dalam sosial media  dan memesongkan pemikiran anak muda,” katanya.  Bernama