Enggan tandatangani Ikrar Bebas Rasuah: Kerajaan Pulau Pinang tak bertanggungjawab, kata PCM

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) disifatkan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai tidak bertanggungjawab, malah jelas menunjukkan  ia tidak serius memerangi rasuah.

Menurut Timbalan Presiden Datuk Huan Cheng Guan, tindakan ini juga menunjukkan bahawa kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya Kerajaan Negeri serius memerangi rasuah hanyalah retorik untuk menagih undi rakyat Pulau Pinang.

Datuk Huan Cheng Guan

“Tetapi apa yang berlaku adalah langsung tidak menyokong usaha IBR yang dibawa oleh SPRM,” katanya merujuk kepada langkah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kini timbul persoalan sebab utama kerajaan negeri tidak menandatangani IBR kerana Lim Guan Eng telah didakwa di mahkamah atas dua tuduhan rasuah?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Jika betul, maknanya kepentingan Lim Guan Eng lebih mustahak bagi kerajaan negeri berbanding kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan telus,” tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad semalam yang kesal dengan keengganan Kerajaan Negeri menandatangani IBR yang merupakan komitmen sesebuah institusi untuk memerangi rasuah.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM kerana terus komited memerangi rasuah yang merupakan musuh nombor satu negara.

“Saya yakin rakyat Pulau Pinang dapat menilai sejauh mana ketelusan kerajaan negeri memerangi rasuah di mana DAP hanya pandai bercakap mengenai isu memerangi rasuah di dalam ceramah mereka  tetapi langsung tidak ada komitmen dan tidak mahu bekerjasama dengan SPRM. Kenapa?,” tambahnya. – Sarawakvoice