Doktor keluarkan 2 kg rambut dari perut gadis gemar makan rambut sendiri

NEW DELHI: Trichophagia ialah sejenis penyakit ganjil iaitu pesakit gemar memakan rambut sendiri.

Situasi ini dihidapi oleh gadis bernama Aakansha Kumari, 16, apabila doktor di hospital Dehdarun, membedah perutnya mendapati terdapat gumpalan rambut hampir 2 kilogram di dalamnya.

Menurut The Sun, 12 Julai lepas, sebelum itu, Kumari mengadu muntah-muntah dan menghadapi masalah pemakanan selain berat badanya mendadak susut.

Kumari dibawa ke hospital dan imbasan x-ray menunjukkan terdapat gumpalan rambut besar di dalam perutnya.

Kumari didapati memakan rambutnya secara rahsia sejak bertahun-tahun lalu dan keluarganya hanya mengetahui perkara itu selepas membawanya ke hospital.

Pembedahan diketuai Dr. Abhay Kumar melakukan operasi mengeluarkan gumpalan rambut di dalam perut Kumari.

Pembedahan terpaksa dilakukan secara sekali gus mengeluarkan gumpalan berkenaan kerana dikhuatiri mendatangkan komplikasi.

Gumpalan rambut hampir memenuhi 80 peratus perutnya yang menyebabkannya hilang selera makan.

Kini, keadaannya baik selepas pembedahan dilakukan. – Sarawakvoice