Struktur kepemimpinan yang diumumkan Pakatan Harapan selepas tengah malam semalam mencetuskan pelbagai tafsiran dan reaksi.

Sidang media yang diadakan selepas tengah malam selepas mesyuarat selama empat jam untuk memutuskan siapa berada di mana dan mempunyai kuasa apa, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dari segi pelantikan itu.

Namun, bagi sesetengah pihak, akhirnya isu duri dalam daging selesai juga meskipun tidak semestinya secara muktamad.

Setidak-tidaknya Pakatan Harapan, selepas ini, dapat mendakwa bahawa mereka bersatu dari segi kepemimpinan.

Halangan dan hambatan utama boleh dikatakan selesai. Tetapi tentu ada cabaran yang lebih besar selepas ini.

Siapa yang jadi boss?

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengerusi atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum?

Dengan Anwar masih meringkuk di dalam Penjara Sungai Buloh, kelihatannya suara Mahathir tentu lebih nyaring.

Memang, Datuk Seri Wan Azizah  juga diberi jawatan, tetapi adakah Mahathir akan mendengar pandangan beliau?

Tentu sahaja Mahathir boleh menangkis dengan menyatakan bahawa dalam Pakatan Harapan akan ada konsensus dan perundingan dalam setiap perkara utama yang diputuskan.

Sebelum ini, banyak yang meragui jabat tangan antara Mahathir dan Anwar, tetapi sebagai orang yang terdesak, Mahathir sanggup berjumpa dengan Anwar yang dipecatnya pada 1998.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-ketua umum), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-presiden).

Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Persoalan lain yang perlu dijawab ialah mengapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi, sedangkan parti itu mempunyai bilangan anggota Parlimen terbanyak dalam pakatan itu?

“Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui Negara?

Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam satu kenyataan semalam.

Adakah semudah itu untuk Anwar dan keluarganya mempercayai dan melupai sejarah silam?

Luka memang sudah sembuh, tetapi parutnya masih kelihatan.

Mereka tentu sukar mempercayai Mahathir seratus peratus, mengingat kekejaman yang dilakukan Mahathir selepas pemecatan, sehingga menyebabkan Anwar meringkuk dalam penjara atas dakwaan liwat yang pertama.

Namun, Mahathir mengakui, Anwar sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini.

“Jika beliau bukan Perdana Menteri, maka ini adalah kerana perbuatan beliau sendiri,” katanya dalam memoir, Doktor Umum.

“Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya.

Saya melakukan apa yang saya rasa terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya,” tulis Mahathir dalam memoir yang diterbitkan pada 2012 itu. – Sarawakvoice