RUU Enakmen Tatacara Jenayah: Satu kejayaan bagi umat Islam, kata Pas

KUALA LUMPUR: Keputusan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) pada 12 Julai 2017 disifatkan suatu kejayaan bagi umat Islam di Kelantan khasnya dan Malaysia umumnya.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Rudian Mohd Nor, bagi umat Islam yang mencintai agamanya, ia merupakan suatu khabar gembira dan mereka wajar berasa bersyukur dengan usaha kerajaan Kelantan itu.

“Seharusnya umat Islam memandang positif usaha Kelantan mendaulatkan undang-undang Islam. RUU ini merupakan sebahagian daripada persiapan untuk melaksanakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) (yang dibentangkan) jika ia diluluskan di Parlimen kelak.

Sebatan di Acheh (Gambar hiasan)

Ia memberi gambaran bahawa Kelantan yang diterajui Pas benar-benar serius melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hal ini, katanya,  sekali gus memadam tohmahan bahawa Pas sekadar beretorik dengan Undang-Undang Islam (Hudud), hanya janji politik kosong, politik meraih simpati, tidak berani melaksanakannya dan seribu satu lagi dakwaan liar.

Dalam keadaan demikian, beliau mengkaui tidak kurang yang bersikap skeptikal dengan memberi pelbagai pandangan negatif terhadap usaha kerajaan Kelantan.

“Bagi saya, pandangan mereka semua ini sangat dangkal dan tidak rasional. Sepertinya mereka takut dan gusar dengan hukuman sebat yang akan dilaksanakan seakan ‘takut dengan hantu di siang hari’.

RUU ini baharu sahaja dalam proses kelulusan DUN Kelantan, tetapi mereka sudah bertempik mengkritik dan menghentam dengan penuh prejudis,” tambahnya.

Sedangkan, katanya, jika mereka perhalusi dan mengkaji undang-undang dan pelaksanaan Islam bukannya bersifat menzalimi manusia, tetapi lebih kepada mendidik pesalah dan orang ramai.

“Tidak timbul ia mengaibkan pesalah dan menjadi bahan hiburan atau tontotan awam, kerana jika ia benar-benar dilaksanakan kelak, bakal membuatkan orang lebih gerun melakukannya.

Jika kesalahan sebat dianggap mengaibkan, maka adakah pesalah rela diaibkan di khalayak ramai dengan sengaja mahu melakukan jenayah itu jika sedar kesan dan akibatnya?,” jelasnya.

Justeru, katanya lagi, Islam mengutamakan pendidikan daripada hukuman, dan dengan sebat di khalayak ini, ia sebagai pendidikan paling ampuh agar tidak ada manusia bercita-cita mahu melakukan jenayah.

Beliau berkata, jika benar dakwaan mengatakan bahawa Kelantan menyaksikan kadar tinggi dalam pornografi, rogol dan sumbang mahram, maka RUU yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan itulah penyelesaiannya.

”Semoga dengan itu, kadar jenayah, rogol dan sumbang mahram dapat dikekang atau diturunkan. Bagi kerajaan Kelantan, itulah satu kaedah bagi mengawal keruntuhan moral di negeri itu dan banyak lagi kaedah lain yang sedang diusahakan,” katanya.

Sepatutnya, tegasnya, para pengkritik memberi ruang kerajaan Kelantan melaksanakan RUU ini bagi melihat keberkesanannya.

“Lihat kesannya dalam tempoh lima tahun, jadikan sebagai rujukan dan kajian, maka selepas itu buatlah suatu pandangan atau kritikan. Jangan mudah mengkritik sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan,” katanya.

Antara lain  pindaan RUU itu nanti membolehkan seseorang yang dihukum bersalah disebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh menggunakan gari ke atas suspek dan video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan. – Sarawakvoice