Di tengah-tengah sentimen Sarawak untuk orang Sarawak yang menggelegak ketika ini, yang ditiup kencang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sebenarnya perlu berfikir sejenak.

Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kita tidak harus emosional dalam menangani isu berkaitan dengan pembentukan Malaysia dan hubungan antara kerajaan negeri Sarawak dan Sabah dengan kerajaan persekutuan.

Justeru, kenyataan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bahawa Sarawak membuat keputusan yang terbaik apabila memilih untuk menubuhkan Malaysia bersama-sama Sabah dan Tanah Melayu pada September 1963 merupakan kenyataan yang tepat.

Kalaupun kita menghadapi masalah, tetapi persekutuan dan keluarga mana yang tidak berdepan dengan masalah?

Sesekali tentu wujud pergeseran dan konflik – inikan pula sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai negeri, dengan etnik yang berbeza.

Seperti kata Tun Taib, keputusan sama-sama membentuk Malaysia membawa banyak faedah kepada Sarawak khasnya  dari segi pembangunan dan pemodenan.

Siapa yang boleh menyangkal kita sudah jauh bergerak ke hadapan dalam pelbagai bidang sejak 1963? Memang, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Sarawak memang kaya, tetapi rakyatnya miskin.Itu pendapat sesetengah pihak. Tetapi siapa yang menyebabkan berlakunya keadaan demikian?

Siapa yang membolot kekayaan Sarawak?  Persoalan ini perlu dikemukakan kerana ada hujah dan naratif yang mendakwa, Sarawak miskin kerana Putrajaya mengabaikan Sarawak.

Orang Semenajung atau pemimpin Semenanjung? Atau siapa? Jujurlah kepada kebenaran!

“Sarawak tidak mungkin menikimati kemajuan sepesat hari ini jika ia memilih untuk menjadi sebuah negara berasingan,” katanya.

“Keputusan untuk sama-sama membentuk Malaysia telah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang lebih kuat dan makmur.

Pembangunan yang kini dinikmati di Sarawak juga ialah hasil perkembagan ekonomi yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Inilah hakikatnya, dan kalaupun wujud kelemahan, kelemahan itu bukan semata-mata kerana menteri persekutuan.

Kemunduran dan kelemahan yang kita alami, perlu diakui, juga berpunca daripada pemimpin negeri kita. Kita perlu bersikap objektif, dan tidak hanya menunjuk jari ke arah orang lain.

“Tidak dinafikan Sarawak dan Sabah telah mendapat banyak keuntungan dan faedah kerana menjadi anggota dalam Malaysia,” kata Tun Taib dalam satu majlis, semalam.

Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun sebelum diganti oleh Tan Sri Adenan Satem

Hubungan dua hala Sarawak dan kerajaan pusat  perlu dipelihara, dan kekerkuhan yang ada tidak harus dibiarkan berlarutan.

“Soal kerjasama kerajaan pusat dan negeri bukan lagi soal politik yang hangat seperti dulu. Ia adalah soal praktikal yang harus diatasi dengan perundingan.

“Sejauh saya boleh nampak dengan pengalaman saya sendiri, kerjasama pusat dan negeri cukup baik. Kita tidak ada masalah begitu besar sehingga dapat menimbulkan konfrontasi ataupun sehingga mewujudkan dasar yang mendiskriminasikan,” katanya.

Kita tidak boleh berkonfrontasi. Kita tidak boleh hanya menuntut hak kita. Kita perlu akur kita hidup di sebuah negara yang mengamalkan sistem persekutuan.

Kita perlu ingat bahawa banyak orang Sarawak yang bekerja di SWemenanjung, termasuk di Johor sebanyak sekurang-kurangnya 40,000.

Kita tidak boleh merosakkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Kita perlu bergerak ke hadapan, dengan mengukuhkan dan memantapkan integrasi nasional.

Jangan kita hancurkan perpaduan yang telah kita bina hanya kerana kita dikuasai emosi dan sentimen kenegerian yang melampau.

Beberapa hari lalu Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan kekal dalam Malaysia.

Penegasan itu dibuat untuk memastikan tidak ada pihak yang takut dengan langkah kerajaan negeri menghantar pasukan perundangan ke London.

Jelas Abang Johari, matlamatnya menghantar pasukan perundangan ke London adalah untuk mendapatkan fakta supaya kerajaan negeri dapat mewujudkan satu kedudukan undang-undang yang kukuh seperti yang termaktub dalam MA63.

“Apa yang menjadi hak Sarawak, kita minta berikan kembali kepada Sarawak. Hanya semudah itu.

“Kenapa ada orang yang takut bila kita hantar pasukan perundangan ke London, termasuk mereka yang di Semenanjung Malaysia? Apa yang perlu ditakuti? Kami akan kekal di Malaysia dan itu hakikatnya,”  tegas Abang Johari.

Justeru, kita perlu menggunakan akal, dan bukannya hati apabila berbicara soal pembentukan Malaysia dan juga hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah. – Sarawakvoice