Najib ucap takziah kepada keluarga bekas Speaker DUN Johor

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Mohd Ali Hassan, yang meninggal dunia, awal pagi tadi.

“Terima berita Datuk Mohd Ali Hassan bekas Speaker DUN Johor pulang ke rahmatullah.

“Moga roh dicucuri rahmat. Takziah kepada keluarga. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di laman Twitter Jumaat.

Mohd Ali, 79, disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini, 2.30 pagi tadi akibat masalah jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Misbah Sakat, 67, dua anak lelaki dan dua anak perempuan serta 11 cucu.

Allahyarham berpengalaman luas dalam bidang politik termasuk pernah memegang jawatan pengerusi Majlis Agama Islam Johor dari 1989 hingga 1990 selain menjadi speaker DUN Johor pada 2004 hingga 2013. Bernama