Menteri edar buku bantu ibu bapa, pengasuh beri didikan berkualiti kepada kanak-kanak

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berharap buku panduan “Asuhan Kanak-Kanak Di Rumah” dapat membantu ibu bapa dan pengasuh di Sarawak dengan membimbing kaedah didikan dan asuhan berkualiti kepada kanak-kanak.

“Dengan adanya buku ini, ia dapat membolehkan ibu bapa melaksanakan asuhan kendiri yang berkualiti kepada kanak-kanak di rumah biarpun tidak menghantar anak-anak ke institusi asuhan oleh pengasuh-pengasuh terlatih.

Ditemui selepas Majlis Penyampaian Hamper dan Buku Panduan Pengasuhan Kanak-kanak kepada ibu-ibu di Wad Kelahiran, Fatimah memberitahu buku tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Asuhan, Bimbingan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak.

” Ia adalah untuk menjaga dan mengasuh anak-anak sendiri secara berkualiti sehingga mereka dihantar ke institusi prasekolah.

“Buku ini dihasilkan oleh pakar-pakar yang terdiri daripada orang perseorangan, pegawai Kementerian Kesihatan, pegawai bomba, pegawai Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, SeDidik dan juga pendidik-pendidik prasekolah.

Menurutnya, buku ini direka bentuk dengan ilustrasi bergambar untuk memudahkan pemahaman oleh pengguna-pengguna terutamanya ibu bapa dan pengasuh yang melakukan pengasuhan sendiri di rumah.

“Ia dibahagikan kepada enam bahagian mengikut peringkat yang bersesuaian dengan umur.

“Ini untuk memudahkan pengguna memberikan asuhan yang berkesan,” katanya lagi.

Buku itu mempunyai enam bahagian itu termasuk keselamatan di rumah, kebersihan, pemakanan dan penyusunan bagi membentuk kanak-kanak dengan cara yang efektif dan berkualiti.

Fatimah kemudian menyempurnakan penyampaian hamper dan buku tersebut kepada golongan ibu di wad tersebut. – Sarawakvoice