Mahathir bertekad bebaskan Anwar seminggu selepas kemenangan PRU-14

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan bertekad melaksanakan proses membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang kini meringkuk di Penjara Sungai Buloh seminggu selepas menubuhkan kerajaan, sesudah pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan yang baru diumumkan, Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti dipetik The Star Online hari ini, berkata ia akan mengikut proses undang-undang dengan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Anwar yang disumbat di dalam penjara atas kesalahan liwat.


Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditanya sama ada Anwar bakal dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh jika Pakatan Harapan menang PRU-14, di ibu pejabat PKR selepas mesyuarat majlis presiden berakhir awal pagi tadi.

Pakatan Harapan mempunyai keyakinan tinggi dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN), manakala penganalisis politik percaya bahawa BN masih mempunyai peluang untuk menguasai Putrajaya, tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

Anwar  merupakan Timbalan Perdana Menteri sebelum Mahathir memecat beliau  daripada jawatan itu dan jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1998.

Pemecatan itu kemudiannya mencetuskan gelora politik terburuk di negara ini, dengan Anwar kemudiannya melancarkan serangan politik terhadap Mahathir.

Namun, dalam PRU pada 1999, BN dan Mahathir masih berjaya menumbangkan pembangkang.

Anwar, 69, dihukum penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari, 30, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 June  2008.

Mahathir berkata, siapa bakal Perdana Menteri jika Pakatan harapan menang akan diumumkan kemudian, mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat, bahawa terdapat masalah dalam pemilihan calon Perdana Menteri.

“PM ketujuh kita akan umumkan, tetapi hari ini kita umumkan yang kelapan,” lapor akhbar itu lagi, membayangkan Anwar, bekas ketua pembangkang, merupakan calon pilihan untuk menjawat jawatan perdana menteri kelapan.

Mahathir mengakui kerjasama dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan, dan juga antara beliau dengan Anwar adalah untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membebaskan semua tahanan politik, mereformasikan undang-undang dan institusi, dan mengehadkan tempoh dua penggal untuk Perdana Menteri.

Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, pemimpin paling lama memegang jawatan itu, dalam sejarah Malaysia sebelum akhirnya berundur pada 2003. – Sarawakvoice

Foto Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur