Kuching anjur Forum Ekonomi Islam Dunia ke-13

KUCHING: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13, yang akan diadakan di sini dari 21-23 Nov, 2017, akan meneroka cara perniagaan dapat bersedia, menyesuaikan dan memanfaatkan peluang yang wujud dalam tempoh semasa yang dinamik.

Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam, berkata forum yang bertemakan ‘Perubahan Inovatif: Impak dan Cabaran’, akan mencerminkan transformasi yang dialami dunia berikutan idea dan teknologi yang inovatif.

“Penggiat industri semasa dan akan datang akan mempunyai peluang untuk berkongsi pandangan mengenai impak dan cabaran daripada perubahan yang inovatif serta merangka landskap perniagaan global yang lebih mampan dan ke hadapan.

“Sejak edisi pertama, forum tersebut, dalam tempoh lima tahun lepas telah menyaksikan kejayaan perjanjian perdagangan berjumlah US$13 bilion (US$1 = RM4.28),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Musa berkata WIEF mempunyai jumlah negara yang mengambil bahagian lebih dua kali ganda – dengan peserta daripada semua saiz ekonomi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata negeri itu menawarkan pengalaman baharu kepada para peserta dengan keindahan alam semula jadinya dan kepelbagaian budayanya yang unik.

Katanya Sarawak diberi penghormatan untuk menganjurkan forum itu, sambil menambah bahawa rekod prestasi WEIF dalam menjalin kerjasama antara negara dipamerkan melalui kerjasama dengan Sarawak, terutamanya negeri yang dijangka menjadi koridor pertumbuhan yang seterusnya di Malaysia.

“Kami berharap dapat menarik pelaburan daripada industri yang selaras dengan matlamat dan nilai kami untuk mengukuhkan prospek ekonomi Sarawak,” katanya. Bernama

Untuk Maklumat Lanjut KLIK SINI