Kekangan perdagangan rentas sempadan Sarawak dan Kalimantan akan selesai — Tok Pa

KUCHING: Kekangan aktiviti perdagangan rentas sempadan, terutama di Sarawak dan Kalimantan akan ditangani secara serius bagi mewujudkan iklim perniagaan yang kondusif di antara dua negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Menurutnya, ia sebahagian daripada persefahaman yang dicapai dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Jawatankuasa Bersama Pelaburan dan Perdagangan Malaysia & Indonesia (JTIC) Ke-3 di sini semalam.

Gambar fail

“Dalam JTIC Ke-3, kita mengenal pasti sekurang-kurangnya enam teras utama untuk memperkukuh kerjasama perdagangan di antara kedua-dua negara.

“Justeru kita akan meneliti semula Perjanjian Perdagangan Sempadan 1970, isu kekangan perdagangan di pintu sempadan Tebedu (Sarawak) – Entikong (Kalimantan Barat), kerjasama dalam aspek harta benda intelek dan pengiktirafan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Malaysia oleh Indonesia,” katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Indonesia, Drs Enggartiasto Lukita; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & e-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Mustapha berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan isu berbangkit berkaitan industri sawit, selain merancang mekanisme terbaik untuk membuka pelabuhan darat di pintu kedua-dua sempadan.

“Malaysia dan Indonesia yakin isu ini boleh diselesaikan, seterusnya membuka jalan kepada mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di Kepulauan Borneo.

“Indonesia adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, malah antara pemain utama ekonomi serantau (ASEAN).

Sepanjang 2016, Malaysia dan Indonesia merekodkan nilai dagang mencecah RM57.06 bilion.

“Bagi lima bulan pertama tahun ini, prestasi dagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 38.4 peratus dari RM22.9 bilion kepada RM31.7 bilion bagi tempoh tahun lalu.

Katanya lagi, kedua-dua negara menyasarkan nilai dagang yang meningkat kepada RM120 bilion melalui penyelesaian beberapa isu berbangkit membabitkan aktiviti perdagangan kedua-dua negara. – Sarawakvoice