Azmin berlagak hero, suka politik sensasi kelirukan rakyat – Noh

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan sengaja mempolitikkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah kerana mahu berlagak ‘hero’ dalam isu pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setia Alam dan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata walaupun menteri besar itu merujuk kepada Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan dalam mengenakan caj premium tanah, namun beliau dilihat seperti ‘tidak baca habis’ dan tidak faham peruntukan serta syarat yang ditetapkan kerana mahu mengenakan caj tinggi.

“Peruntukan itu ada menyebut syarat untuk mengenakan caj premium tanah milik Kerajaan Negeri yang dirizabkan bagi tujuan persekutuan tidak boleh ditentukan mengikut nilai pasaran semasa.

“Sebaliknya, caj premium tanah yang telah dirizab untuk pembangunan kedua-dua BBP itu sepatutnya mengikut nilai asal iaitu ketika tanah itu dipindah milik oleh pemaju kawasan berkenaan kepada kerajaan negeri lebih 10 tahun lepas,”katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Malah, katanya, kerajaan Selangor sebenarnya tidak rugi RM22.2 juta seperti yang dinyatakan Mohamed Azmin kerana kedua-dua tapak tanah berkenaan diserahkan oleh syarikat pemaju kawasan tersebut kepada kerajaan negeri secara percuma untuk dirizabkan bagi tujuan persekutuan.

“Jadi, diskaun 75 peratus yang ditawar kerajaan negeri sepatutnya diguna pakai bagi caj premium tanah pada nilai yang dahulu dan bukannya ikut nilai pasaran semasa sekarang,” jelas Noh.

Beliau berkata tindakan Mohamed Azmin itu membuktikan pemimpin pembangkang lebih berminat mensensasikan dan mempolitikkan sesuatu isu yang konon pada akhirnya nanti dilihat sebagai ‘pembela’ sedangkan mereka sebenarnya hanya mengelirukan rakyat dengan isu yang dimainkan.

Sebelum ini, Mohamed Azmin dalam kenyataannya memberitahu penilaian harga pasaran bagi tapak tanah BBP di Setia Alam adalah berjumlah RM19.8 juta atau RM1,700 semeter persegi manakala BBP Bukit Rahman Putra bernilai RM9.7 juta atau RM1,200 semeter persegi. Bernama