Anwar Ibrahim Ketua Umum Pakatan Harapan, Tun M Pengerusi

PETALING JAYA: Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti pembangkang mengumumkan struktur kepimpinan baharunya malam tadi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula sebagai pengerusi.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) , berkata keputusan tersebut dipersetujui keempat-empat parti iaitu PPBM, DAP, Amanah dan PKR selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung kira-kira lima jam.

“Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden manakala Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dilantik sebagai timbalan presiden,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Dr Mahathir berkata struktur kepimpinan baharu dan logo pakatan harapan itu akan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dalam tempoh seminggu untuk tujuan pendaftaran. Bernama