Abg Johari gesa warga KDN teruskan amalan bersih, sifar rasuah

SRI AMAN: Selari usaha Kerajaan Negeri yang melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) 25 Januari lalu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menggesa warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sarawak berani mengambil tindakan wajar menjamin keselamatan negeri dan negara demi memastikan amalan sifar rasuah.

Warga KDN di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi wajar mengambil langkah memastikan agensi masing-masing mengamalkan amalan mulia dan bersih bebas daripada gejala rasuah.

Abang Johari melalui teks ucapan dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri KDN di Padang Lama Kompleks Sukan pada Khamis turut mengingatkan rakyat mengamalkan nilai murni dan berintegriti tinggi bersama mencapai usaha memerangi rasuah.

Setiap ahli masyarakat harus menghayati nilai murni ini agar masyarakat keseluruhannya harmonis dan bersatu.

Menurut Abang Johari, kerajaan ikhlas memastikan Sarawak ditadbir telus, bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, Abang Johari memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sentiasa bersikap terbuka berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sarawak meneruskan usaha menyelidik hak sebenarnya seperti yang terkandung dalam dokumen asli MA63 di London.

Berkaitan rasuah, pentabdiran Abang Johari selaku Ketua Menteri keenam Sarawak pada 25 Januari lepas, mengetuai sembilan menteri dan 18 menteri muda negeri melafaz dan menandatangani IBR disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad di Wisma Bapa Malaysia.

Ikrar tersebut dilihat sangat signifikan kerana ia mendahului mesyuarat kabinet pertama yang dipengerusikan oleh beliau selaku Ketua Menteri Sarawak selepas pelantikan 13 Januari menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lepas.

Sebelum ini Abang Johari pernah berkata, “paling saya takut ialah Tuhan dan saya tidak akan benarkan rasuah berlaku dalam pentadbiran saya.” – Sarawakvoice