Teras, UPP akan terus jadi duri dalam daging bagi BN Sarawak pada PRU-14

Parti Teras dan UPP masih lagi  belum terkubur.

Mungkin ada yang menyifatkannya hidup bagai nyawa-nyawa ikan.

Selagi kedua-dua parti serpihan SPDP dan SUPP masing-masingnya itu masih hidup, selagi itulah parti berkenaan menjadi duri dalam daging bagi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Duri yang lebih besar tentunya UPP pimpinan Wong Soon Koh.

Parti berkenaan masih dilihat aktif, dan disokong sebahagian masyarakat Cina. Tentu ini membuat  presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian pening kepala.

UPP merupakan sebuah parti pelbagai kaum, namun tetapi  majoriti ahlinya ialah kaum Cina.

UPP ditubuhkan pada 2014, ditubuhkan akibat perbalahan antara pemimpin parti SUPP.

Objektif UPP adalah untuk mengukuhkan undang-undang negara, iaitu adil dan mewujudkan sikap sama rata bagi semua masyarakat tanpa mengira budaya dan kepercayaan.

Selain itu, juga untuk mempromosikan dan memastikan ekonomi dan budaya semua kaum mencapai tahap tinggi.

Teras  pimpinan William Mawan Ikom ditubuhkan pada tahun 2014 merupakan parti serpihan  SPDP, disebabkan oleh perbalahan pucuk pimpinan.

Isu berkaitan kedudukan Teras dan UPP dalam BN perlu diselesaikan.

Ia bagai gajah di dalam kamar, dan pemimpin BN, terutama Pengerusinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tidak boleh berpura-pura tidak melihat gajah itu.

Maksudnya, sebagai Ketua Menteri, beliau perlu segera menyelesaikan isu berkenaan, dan tidak boleh menangguhkannya.

Namun, pada majlis Ramah Tamah Adilfitri Yayasan Sarawak  di Kuching ketika ditanya pemberita semalam, Abang Johari  enggan mengulas mengenai kedudukan  kedua-dua parti terbabit pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai isu itu. Pilihan raya masih jauh,” kata beliau seperti dipetik media.

UPP dan Teras ialah parti mesra BN yang mempunyai pemimpin dalam Kabinet negeri.

Namun, kehadirannya dalam BN juga menimbulkan masalah sehingga mencetuskan konflik dengan SUPP dan SPDP.

Juga, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pengundi di kawasan.

Tentu BN tidak mahu teus menggunakan pendekatan lama, dengan menampilkan calon langsung untuk menangani masalah ini. Ini ialah kaedah sementara dan jangka pendek. Kaedah itu bukan penyelesaian muktamad.

Persoalannya, sampai bilakah isu ini dibiarkan, dan terus menjadi masalah kepada BN? – Sarawakvoice