Polis tahan suami, isteri bersama senjata buatan sendiri di Bintulu

BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Bintulu merampas senapang patah buatan sendiri dan sebilah pisau 12 inci di LA-14 Blok Flat Bandaria Park Jalan Bintulu-Tatau 6.30 petang Selasa.

Operasi diketuai Inspektor Noor Asri, Inspektor Kasimin dan Sarjan Ahmad berjaya merampas senjata yang disembunyikan suspek sepasang suami isteri, berusia 20 dan 22 tahun, di bawah tilam bilik tidur utama.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zailani Amit berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Bintulu bertindak atas maklumat orang awam.

Menurut kenyataan tersebut, suspek turut ditahan di rumah berkenaan semasa serbuan.

Siasatan awal mendapati suspek turut menjual senjata api buatan sendiri secara haram kepada mana-mana individu yang mahu membelinya bagi pelbagai tujuan.

Suspek bersama-sama bukti rampasan dibawa ke One Stop Centre IPD Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Suspek disiasat di bawah seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak lebih 7 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Zailani turut mengingatkan orang ramai bahawa menjadi kesalahan jika menyimpan senapang buatan sendiri atau membelinya daripada mana-mana pihak kerana ia satu kesalahan. – Sarawakvoice