PM amat puas hati kelancaran perkhidmatan MRT


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib  Razak hari ini menzahirkran rasa puas hati terhadap kelancaran perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).

Perdana menteri berkata beliau dan keluarga berkesempatan meninjau dan mencuba sendiri tren fasa kedua MRT yang akan beroperasi sepenuhnya mulai 17 Julai depan, petang semalam.

“Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan infrastruktur bertaraf dunia jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang ini yang dibangunkan, diusahakan oleh ribuan anak tempatan sejak tahun 2010.

“Kepada semua yang terlibat, berbanggalah dengan pencapaian anda, imbas kembali segala pengorbanan tenaga, masa beristirahat bersama keluarga dan sahabat handai. Inilah hasil keringat dan air mata anda! Saya sendiri amat bangga dengan anda semua,” kata perdana menteri menerusi catatan di laman rasmi najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata dalam tinjauan berkenaan beliau turut ditemani rakan-rakan dalam talian beliau yang teruja untuk merasai pengalaman menaiki tren yang melalui beberapa stesen bawah tanah.

Menurutnya, kelancaran perkhidmatan MRT menidakkan dakwaan penduduk terutama di kawasan bandar bahawa projek MRT yang bermula sejak 2010 ini akan menjejaskan kawasan setempat.

“Ternyata perkara ini tidak benar sama sekali apabila kini ramai rakyat kita yang menerima manfaat kesalinghubungan yang lebih holistik,” katanya.

Najib turut menegaskan bahawa visi beliau adalah untuk melihat sistem pengangkutan moden yang bukan sahaja dapat menghubungkan seluruh kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya, tetapi juga sebuah sistem yang boleh digantung harap tahap efisiennya.

“Tahukah anda, tren kita mempunyai kadar frekuensi yang tinggi iaitu kira-kira 3.3 minit pada waktu puncak untuk setiap tren dan berupaya menampung kapasiti 1,200 orang pada satu masa?” katanya.

Sementara itu,  Najib turut berkongsi pengalaman dengan keunikan stesen-stesen bawah tanah MRT yang dilengkapi identiti tersendiri serta perkhidmatan bas perantara yang menghubungkan stesen MRT dengan kawasan sekitar yang selesa pada kadar RM1 sahaja.

“Wahai rakyat Malaysia, 17 Julai ini, sama-samalah kita raikan satu lagi detik bermakna buat Negaraku, tanah airku. #JomNaikMRT,” kata perdana menteri. Bernama