Pembangkang sering beri kenyataan mengelirukan – Noh Omar

PUTRAJAYA: Pihak pembangkang dilihat sering memberi kenyataan mengelirukan kepada rakyat berhubung setiap keputusan mahkamah bagi menunjukkan seolah-olah mereka telah mencapai kemenangan dalam setiap kes, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Beliau memberikan contoh kenyataan mengelirukan dalam kes melibatkan anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh baru-baru ini yang membenarkan permohonannya untuk mengetepikan pekeliling KPKT adalah kemenangan moral rakyat.

“Beliau berkata keputusan tersebut adalah satu kemenangan moral kepada rakyat padahal mahkamah baru benarkan permohonan beliau dan belum lagi membuat keputusan sama ada kes yang dituntut berjaya atau tidak,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya kementeriannya di sini baru-baru ini.

Turut memberikan kenyataan yang mengelirukan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang kononnya berjaya menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan tanggungjawab mereka dalam urusan persempadanan kawasan pilihan raya khususnya di Selangor, katanya.

“Memanglah kita semua faham bahawa negara ada tiga kawasan iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan jika hendak buat persempadanan semula perlu libatkan semua negeri-negeri di Malaysia. Kalau sangkut di Selangor, sangkutlah semua,” katanya.

Tapi kenyataan Azmin, seolah-olah persempadanan ini sudah terhenti dan tidak dapat dilakukan sedangkan persempadanan Selangor telah sangkut dan SPR tak boleh hantar laporan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional Selangor turut menempelak Azmin yang sebelum ini menyatakan kesediaan menjalin kerjasama dengan kerajaan persekutuan namun gagal untuk hadir ke mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MKNT) Ke-71 yang diadakan Isnin lepas.

“Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya dihadiri menteri-menteri, ketua menteri dan menteri besar… lain-lain negeri yang hantar wakil paling rendah adalah Exco tetapi Selangor hanya hantar setiausaha bahagian,” katanya.

Katanya ini menunjukkan kerajaan Selangor tidak menghormati Perlembagaan kerana setiap dasar yang dibuat kerajaan persekutuan adalah untuk bagi bantuan kepada kerajaan negeri. Bernama