Pas ajak Mahfuz berdebat

KUALA LUMPUR:  Susulan keghairahannya menjadi jurucakap Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan, Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Datuk Mahfuz Omar ingin berdebat berkaitan isu hala tuju dan pendirian parti itu.

Pengarah PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, cabaran terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena untuk berdebat itu adalah bagi memberi ruang kepada Mahfuz berhujah bahawa pucuk pimpinan Pas tersasar seperti yang didakwa beliau.

Datuk Mahfuz Omar

Namun, katanya, debat itu hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli Pas ekoran isu hala tuju dan pendirian parti banyak berkaitan hal ehwal dalaman Pas.

“Debat tersebut diharapkan dapat menjernihkan kecelaruan Datuk Mahfuz, jika benar beliau bertindak sebelum ini kerana sayangkan parti,” tambahnya.

PPP, ujarnya, bersedia menjawab dakwaan beliau dalam debat tersebut, dan berharap Datuk Mahfuz tidak lagi celopar jika kesemua dakwaan beliau sudah terjawab.

PPP, jelasnya, bersedia menjadi penganjurnya.

“Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada ‘masih sayang kepada PAS’ sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang PAS.

“Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti,” katanya.

Mahfuz kebelakangan ini sering mengkritik Pas, malah difahamkan tidak lagi menghadiri sebarang program penerangan dan penjelasan mengenai hala tuju dan pendirian parti.

Menurut Mohd Zuhdi, sikap yang ditunjukkan oleh Mahfuz kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik. – Sarawakvoice