Lelaki boleh dipenjara 300 tahun jika disabit terlibat serangan seksual kanak-kanak

LOS ANGELES: Seorang lelaki di California Selatan yang dipercayai melakukan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya 4 mangsa terdiri daripada kanak-kanak, bakal berdepan hukuman penjara sehingga 300 tahun.

Agensi berita Xinhua yang memetik laporan NBC Los Angeles berkata Gilbert Andrew Chavarria, 29, yang digelar ‘Creeper’, memecah masuk kediaman mangsa di bandar Escondido dan San Marcos kira-kira 140 kilometer di selatan Los Angeles sebelum menyerang mangsa secara seksual.

Kejadian dilaporkan berlaku pada waktu awal pagi antara Jun dan Julai 2013.

Kebanyakan mangsanya terdiri daripada golongan remaja manakala mangsa paling muda berumur 5 tahun.

Chavarria yang bekerja di sebuah kedai kereta mempunyai seorang anak yang dijaganya sendiri, mengaku tidak bersalah terhadap 22 pertuduhan jenayah pada Isnin lalu.

Tuduhan termasuk memecah masuk kediaman, serangan (semasa pecah rumah), melakukan kelucahan melampau ke atas kanak-kanak dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Menurut pihak polis, jumlah sebenar mangsa serangan seksual Chavarria masih belum dapat disahkan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya tampil membuat laporan.

Chavarria dijangka dibawa sekali lagi ke mahkamah pada 22 September ini.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 300 tahun. Bernama