Kompleks Muzium Sarawak bakal muncul mercu tanda baharu

KUCHING: Kompleks Muzium Sarawak bakal menjadi mercu tanda baharu di bandar raya Kuching dan mampu menjadi daya tarikan utama pelancong, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Rakyat Sarawak pasti amat berbangga dengan Kompleks Muzium yang akan siap pada bulan Februari tahun 2020 terutamanya kepada sesiapa yang berminat mengenai muzium,” kata Abdul Karim selepas menghadiri taklimat dan lawatan tapak di Kampus Muzium Sarawak, pagi tadi.

Menurutnya, kompleks muzium yang baharu ini merupakan kedua terbesar di rantau ini dengan keluasan 7,000 meter persegi berbanding 10,000 meter persegi bagi Galeri Nasional Singapura.

“Kompleks muzium ini juga akan menjadi satu tarikan besar kepada pelancong serta rakyat negeri Sarawak terutamanya penduduk di bandar raya Kuching,” jelasnya.

Abdul Karim berkata, pembinaan  kompleks muzium ini dijangka siap pada  2018, tetapi akan mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk pengisian artifak.

“Saya amat gembira melihat tahap pembinaan yang dilaksanakan. Pada masa ini pembinaannya  amat memuaskan kerana  mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, jumlah kos pembinaan kompleks muzium ini  mencecah RM300 juta,  pembinaannya ketika ini sudah siap 37 peratus. – Sarawakvoice