Jangan wujudkan ketidakstabilan politik demi generasi akan datang – Johari

JELEBU: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata rakyat boleh berbeza pandangan politik tetapi yang paling penting ialah memastikan kedudukan ekonomi negara stabil dan kukuh untuk kepentingan generasi akan datang.

“Oleh itu, jangan kita wujudkan ketidakstabilan politik di negara ini. Kalau ada apa-apa masalah, kita hadapi dan atasi masalah tersebut.

Tidak semestinya apabila ada masalah, kita menghancurkan kerajaan. Setiap masalah kita akan cuba selesaikan, tetapi dari segi kerajaan, kita pastikan bahawa kerajaan ini akan terus dapat dibangunkan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan persidangan serentak perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu di Dewan D’Sury, Kuala Klawang di sini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata “Yang penting kita kena pastikan bahawa kerajaan yang memerintah hari ini akan terus membela nasib rakyat dan kita tidak mahu berpolitik ini sehingga terabai tanggungjawab pemimpin-pemimpin di peringkat nasional daripada menjaga kepentingan rakyat dan juga ekonomi negara secara keseluruhannya”.

Katanya Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terbuka.

“Kita bukan macam dahulu, di mana, dahulu tidak banyak negara-negara yang boleh menawarkan apa yang dia ada, tetapi hari ini banyak negara yang tawar apa yang dia ada.

Sebab itu kita hari ini kena mengambil kira bahawa yang paling penting kena terus wujudkan keyakinan pelabur-pelabur dan juga rakyat terhadap kepimpinan negara untuk kita terus membangunkan negara ini,” katanya.

“Dari segi politik, apabila kita bersetuju mewujudkan komponen parti Barisan Nasional (BN), kita kena saling bantu membantu”.

Pada hari ini kelihatan UMNO itu kuat, jadi, bila kita kuat dan apabila ada parti komponen BN yang tidak berapa kuat maka kita kena bantu mereka. Dan begitu juga waktu kita lemah…UMNO begitu berkocak pada ketika itu, maka parti komponen BN yang lain juga mengembleng tenaga membantu kita.

“Semangat ini sangat penting kerana inilah formula di mana kita sentiasa sebagai BN menang dua pertiga pada pilihan raya umum sejak merdeka dahulu.

“Konsep ini perlu kita kekalkan sebab negara kita ini sebuah negara majmuk, berbilang kaum dan formula untuk kita terus mendapat kestabilan dan membangunkan ekonomi kita ialah dengan mengambilkira semua masyarakat,” katanya. Bernama