DAP Pulau Pinang terlebih bayar RM177.5 juta kepada kontraktor?

GEORGETOWN: Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menegur Kerajaan DAP Pulau Pinang yang didapati membayar yuran rundingan secara berlebihan bagi pembinaan tiga batang jalan projek terowong dengan nilai RM177.5 juta di negeri itu selain menjalankan projek di luar garis panduan pihaknya.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan yuran dan perbelanjaan yang dibuat kerajaan negeri itu adalah satu pengiraan berganda.

Beliau turut menasihati Pe­ngerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow supaya tidak mengelirukan rakyat de­ngan menjelaskan lebih berhati-hati mengenai bayaran dibuat di dalam industri pembinaan jalan yang moden dan mempunyai peraturan yang baik.

“Melalui input daripada LJM, kementerian kami telah menganalisis surat maklum balas daripada Kon Yeow bertarikh 24 Jun 2017, sehari sebelum perayaan Aidilfitri,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Kon Yeow sebelum ini bersungguh-sungguh menegaskan bahawa yuran reka bentuk terperinci bagi tiga batang jalan sejauh 20 kilometer yang dibayar kerajaan negeri adalah tidak berlebihan dari segi harga dengan 10 komponen tambahan.

Tambah Fadillah, banyak komponen daripada 10 komponen yang dinyatakan Kon Yeow didapati telah di sub komponen di dalam Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA), kajian kebolehlaksanaan atau reka bentuk terperinci.

“Tiga daripada 10 komponen ini terletak di bawah bidang ku­asa LJM selain kerja sivil dan struktur. Perkara seperti reka bentuk terowong tanah dan reka bentuk mekanikal dan elektrik juga me­rupakan yuran diurus oleh LJM,” ujar Fadillah.

Berdasarkan maklumat diberi LJM, kata Fadillah, pihaknya mendapati bayaran rundingan prapembinaan keseluruhan berjumlah RM208.7 juta meliputi RM31.2 juta untuk kajian keboleh­laksanaan dan RM177.5 juta pula bagi reka bentuk terperinci.

“Kementerian dan LJM tetap berpendapat jumlah keseluruhan yang dibayar itu melebihi garis panduan dan berlebihan,” kata­nya.