Ahmad Zahid berang, adakan lawatan mengejut ke tapak projek Hospital Sri Aman

SRI AMAN: Timbalan Perdana Menteri kecewa dan berang dengan sikap  kontraktor yang diamanahkan untuk membina Hospital Sri Aman di sini kerana gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan.

Projek yang ditunggu-tunggu penduduk di kawasan ini yang membabitkan kos RM200 juta  itu bakal menyediakan 108 katil.

Projek membabitkan kawasan seluas 20 hektar itu sudah terbengkalai selama 218 hari.

Projek itu menjadi isu panas dan dimanipulasikan pembangkang dalam pilihan raya negeri Mei tahun lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan projek berkenaan hari ini.

Dalam ucapan pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri, di Dewan Suarah di sini berkata, kerajaan tidak berkompromi dengan pihak terbabit, termasuk tempoh lanjutan pembinaan.

“Kita tidak berkompromi terhadap kontraktor dan perunding pembinaan yang mendapat kontrak membina prasarana kesihatan termasuk berkaitan kebajikan,” katanya sambil menambah bahawa beliau mahu berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan kementerian lain berkaitan projek terbengkalai ini. – Sarawakvoice