Tidak perlu maki hamun  Umno, BN setiap hari, kata Pas

KUALA LUMPUR: Pas akan tetap  fokus untuk lawan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, bukan dengan kata-kata sahaja tetapi dengan tindakan, tanpa perlu maki hamun parti itu setiap hari, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Azman Ibrahim.

“Fokus bukan hanya dengan kata-kata, tapi dengan tindakan. Fokus ini tak pernah beralih arah sehingga ke saat ini. Semakin hari semakin fokus dan semakin fokus,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Azman Ibrahim

Namun, ujarnya, melawan Umno dalam PRU bukan bermakna setiap hari  parti itu perlu memaki Umno dalam kedai kopi.

“Lawan Umno bukan bermakna kita kena buat seteru dengan semua orang Umno di sekeliling kita. Lawan Umno bukan bermakna pemimpin Pas langsung tak boleh duduk satu majlis dengan pemimpin Umno. Lawan Umno bukan bermakna haram sama sekali pakai baju warna yang sama dipakai oleh orang Umno,” katanya.

Tambah Azman, melawan Umno bukan bermakna sakit, demam dan mati orang Umno orang Pas tidak perlu pergi ziarah.

“Lawan Umno bukan bermakna kita perlu bertegang urat leher dan berbeza pendapat 24 jam sehari. Lawan Umno juga bukan bermakna antara kita tiada langsung titik persamaan yang membolehkan kita duduk berbincang demi kepentingan rakyat dan negara,” tambahnya.

Baginya, kesempitan pemahaman politik menyebabkan ramai yang gagal memahami keperluan seorang Menteri Besar dari Pas berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri dari Umno.

“Jumudnya pemikiran politik sehingga apabila Presiden Pas berada sepentas dengan Presiden Umno demi memperjuangkan isu umat Islam sejagat maka bergegarlah gema UG. Terkongkongnya minda dan IQ sehingga berbaju melayu warna sedondon juga menjadi modal yang dijaja bertahun-tahun. Betapa tak ada modal politik sehingga pergi letak tukun tiruan dalam laut sebagai rumah ikan pun berdepan dengan fitnah UG,” katanya.

“Lawan Umno bermakna lawan untuk mengalahkan Umno dalam PRU. Bukan kita lawan untuk belasah dan halau orang Umno. Tapi kita nak jemput orang Umno berpindah dari kapal Umno yang sedang mereput dan hampir karam untuk menaiki kapal Pas yang teguh belayar.

Kerosakan yang menimpa kapal Umno sudah terlalu parah. Enjin sudah tak boleh dibuat overhaul lagi dan kemudinya juga sudah patah. Pelayarannya bersimpang siur tanpa tujuan yang jelas. Anak-anak kapal sudah sedar sebenarnya akan hakikat yang menimpa kapal mereka,” katanya.

“Tapi mereka kekal berada di atas kapal ini kerana  masih ada simpanan harta karun dalam perut kapal yang boleh direbut sebagai habuan. Demi habuan ini, mereka pejamkan mata seketika,” jelasnya.

“Kita perlu ajak mereka untuk buka mata dan berfikir lebih jauh ke depan. Berfikir akan nasib anak cucu nanti. Berfikir tentang survival tanah air dan negara tercinta. Paling penting kita wajib berfikir dan berpolitik tanpa melupakan apa yang akan kita hadapi dalam kubur kelak,” kata Azman lagi. – Sarawakvoice