Terbukti Jepun pernah jadikan 200,000 wanita Korea hamba seks

SEOUL: Kini, video 18 saat yang terakam pada 1944 menampilkan aksi tujuh wanita Korea Selatan mangsa perhambaan seks tentera Jepun di Yunnan, China mampu membuktikan tentera Jepun sememangnya bertanggungjawab menjadikan 200,000 wanita Korea sebagai hamba seks.

Analisis terperinci yang dilakukan Seoul National University menunjukkan tujuh wanita dalam video tersebut sepadan dengan foto tujuh wanita Korea yang mendakwa menjadi mangsa perhambaan seks Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Rakaman tersebut diambil oleh seorang jurufoto perang AS sebaik sahaja China merampas Yunnan dari taklukan Jepun.

Selama ini, hubungan kerjasama Tokyo-Seoul tergendala berpunca daripada isu “wanita penghibur” ini.

Pasukan penyiasat Seoul National University menemui bukti ini daripada antara ratusan gulungan filem pada Jun lepas.

Pasukan pimpinan Profesor Chung Chin-sung memerlukan tempoh dua tahun mencari jejak yang tersimpan di arkib nasional dan arkib pentadbiran Amerika Syarikat.

Chung menerusi Arirang News di Youtube pada Selasa lepas berkata, pihaknya berharap penemuan baru ini menarik perhatian awam perihal pentingnya isu ini.

Beliau berharap hasil penemuan tersebut menjadikan pertemuan bilateral Presiden Moon Jae-in dengan PM Jepun Shinzo Abe di Sidang Kemuncak Negara G-20 akhir minggu ini memberi ruang perbincangan lebih segar.

Sejarah mencatatkan pada Perang Dunia Kedua, tentera Jepun pernah melancarkan penculikan, pemerkosaan dan pemaksaan terhadap wanita muda di tanah jajahannya.

Mereka dijual beli menjadi hamba seks kepada tentera Jepun.

Korea Selatan menjadi antara negara paling vokal menuntut pertanggungjawaban Jepun terhadap kes ini.

Beberapa dekad berlalu, hubungan kedua-dua negara terganggu secara historis tanpa hujung. – Sarawakvoice