Telekomunikasi kini diteguhkan, agensi, usahawan sedialah beraksi dengan e-dagang

SIBU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh memuji dasar Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengambil langkah terbaik mentransformasi ekonomi baharu Sarawak berpaksikan ekonomi digital.

Bagi Wong, keputusan yang bijak bagi Kerajaan Negeri melonjakkan ekonomi baharu berasaskan teknologi maklumat agar kekal relevan dan bersaing dengan negara lain.

Di sini, jabatan dan agensi kerajaan, swasta termasuk usahawan dan peniaga, khususnya generasi anak-anak muda yang celik IT menyokong aspirasi Abang Johari yang berani ini.

Tidak timbul untuk dijadikan isu bahawa kelemahan prasarana teknologi komunikasi menjadi halangan.

Ini kerana kerajaan menyedari hal ini dan memperuntukkan RM1 bilion mempertingkat prasarana telekomunikasi merangkumi tambah baik jalur lebar mudah alih dan liputan telefon khususnya di pinggir dan luar bandar.

Inisiatif ekonomi digital ini memberi akses mudah dan cepat ke rangkaian digital demi mengeksploitasi peluang e-dagang sepenuhnya.

Sistem e-Dagang membantu memasarkan produk usahawan dari seluruh pelosok negeri ini dengan lebih pantas tanpa had.

Bercakap pada Majlis Angkat Sumpah Persatuan e-Dagang Sarawak (SEA) di hotel terkemuka, Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata rakyat terutama golongan yang memerlukan bantuan dalam sektor perdagangan perlu bersedia menghadapi cabaran dan peluang menerusi e-Dagang.

Wong mengingatkan semua pihak perlu belajar dan mempertingkat diri menguasai ilmu IT memudahkan urusan perniagaan secara elektronik ini.

Kini, pihak kementerian merancang pembangunan kapasiti bagi usahawan tempatan sedia berurusan dengan e-Dagang.

Kementerian sedia mewujudkan rangkaian global dan kerjasama dengan organisasi terpilih mengukuhkan e-Dagang selain mewujudkan pusat inovasi e-Dagang membantu memasarkan tembusan produk ke saluran global. – Sarawakvoice