Sejuta haiwan jadi mangsa krisis diplomatik Qatar-Saudi, lebih 100 unta mati haus

DOHA: Konflik diplomatik di Teluk tidak sekadar menimbulkan krisis kemanusiaan dan ekonomi terhadap Qatar akibat sekatan negara Arab lainnya, bahkan haiwan ternakan termasuk unta turut menjadi mangsa krisis.

Ratusan unta mati kehausan selepas sejumlah peternak Qatar diusir keluar dari Arab Saudi.

Jasad unta terbaring di sempadan Qatar-Arab Saudi selepas proses keluar masuk haiwan ternakan tersebut disekat di sempadan.

Baki unta yang tidak dapat keluar masuk terpaksa berjuang hidup sendiri di tengah-tengah cuaca yang mencapai sehingga 50 darjah Celsius.

Kredit Foto Qatarscop

“Sukar. Unta keletihan kerana mereka tidak tahu ke mana harus pergi,” ujar pemilik unta Said al- Hajari seperti dilaporkan The Independent pada Rabu.

Pemilik unta lain Hussein al-Marri berkata, beliau baru balik dari Arab Saudi dan melihat dengan mata sendiri, lebih 100 unta mati di pinggir jalan.

Kementerian Kehidupan dan Alam Sekitar Qatar bertindak cepat mendirikan tempat penampungan dekat sempadan menyimpan sehingga 8,000 ekor unta dilengkapi kemudahan air minuman serta makanan.

Pihak Qatar juga menyediakan doktor haiwan serta pakar lain membantu mengelola tempat penampungan haiwan terbabit.

Kerajaan Qatar merancang membangun lebih banyak tempat penampungan menyelamatkan ribuan ekor unta lain.

Peternak Qatar selama ini menggembalakan unta mereka di Arab Saudi dengan melintasi sempadan kedua-dua negara.

Dengan penutupan sempadan Saudi, sekitar sejuta haiwan ternak di Qatar tidak dapat digembala kerana situasi alam semula jadi yang tidak mengizinkan di dalam negeri. – Sarawakvoice