Program Felo Perdana beri peluang lihat pentadbiran negara – PM Najib

PUTRAJAYA: Program Felo Perdana memberi peluang keemasan kepada generasi muda melihat sendiri kerumitan mentadbir negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata program itu memberikan pengalaman tidak ternilai kepada peserta program untuk duduk di sisi golongan pembuat dasar dan keputusan utama kerajaan.

“Ketika kami sebagai pelajar universiti, kami menganggap kerja-kerja mentadbir kerajaan adalah mudah.

Apabila anda menjadi anggota kerajaan, anda menyedari ia tidak semudah seperti yang dilihat dari luar.

Mentadbir sebuah kerajaan amat mencabar. Ia adalah kompleks namun ia memberikan kepuasan kerana anda boleh melakukan perubahan untuk kehidupan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Felo Perdana Tahun 2017 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Seramai 85 orang siswazah dan graduan dari dalam dan luar negara ditempatkan bersama mentor yang juga menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara selama minimum enam minggu hingga tiga bulan.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata penyertaan dalam program Felo Perdana merupakan satu pengalaman tidak ternilai dan para peserta mesti mengambil peluang keemasan itu untuk menambah pengalaman menerusi program ini.

“Ia bukan mengenai pengalaman bertahun-tahun. Apa yang penting adalah pengalaman. Satu tahun atau beberapa bulan pengalaman di sini mungkin bernilai enam tahun pengalaman di luar,” katanya.

Beliau berkata pengalaman sebagai peserta program Felo Perdana ini akan menjadi satu aset kepada para peserta apabila dimasukkan dalam resume masing-masing.

“Apabila anda dipilih sebagai Felo Perdana, anda sudah dianggap sebagai sebahagian daripada kumpulan bakat muda untuk masa depan. Setiap seorang daripada anda mempunyai kualiti luar biasa dan sebab itu anda dipilih.

“Kalau hendak memohon untuk memasuki pusat pengajian perniagaan atau syarikat multinasional, kita boleh kata saya adalah seorang Felo Perdana. Kalau nak masuk dalam kerajaan, ia akan menjadi satu kelebihan,” katanya.

Najib berkata program Felo Perdana sangat berguna kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan menghargai peranan generasi milenium dalam negara.

“Maju mundur sesebuah negara bergantung kepada yang berasaskan bakat. Kita mesti mewujudkan pelbagai program dan struktur supaya generasi milinium ini merupakan talent base.

“Melalui program ini, kita boleh dedahkan proses mentor dan mengasah bakat kepimpinan mereka,” katanya.

Menurut Najib, peserta tahun ini dikehendaki menulis esei mengenai Tranformasi Nasional (TN 50) agar mereka boleh memberi input.

Program Felo Perdana merupakan satu daripada inisiatif KBS untuk melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing dan mempunyai pengetahuan yang relevan berhubung sistem kabinet negara, aspek kepimpinan dan pentabdiran negara.

Program Felo Perdana yang bermula sejak tahun 2013 telah melahirkan 403 pemimpin muda dinamik sehingga tahun ini.