KUALA LUMPUR: Pemuda  Parti Amanah Negara, Kelantan hari ini menggesa Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob supaya mengkaji semula, dan seterusnya membatalkan perjanjian konsesi menguruskan hutan seluas sejuta ekar selama 30 tahun yang dianugerahkan Kerajaan Negeri kepada Climate Protector Sdn Bhd (EcoBit).

Ketua Pemudanya Hazmi Hassan dalam satu memorandum kepada Menteri Besar yang turut diedarkan kepada media berkata, rakyat secara umumnya tiada masalah dengan projek Carbon Credit Trading berkenaan.

Malah, rakyat, katanya, menganggapnya projek itu sesuatu yang baik demi kelestarian alam sekitar, bahkan mampu menjana pulangan kewangan kepada negeri Kelantan, jika dilaksanakan dengan betul sebagaimana yang digariskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bank Negara Malaysia dan beberapa badan lain.

“Walaubagaimanapun, kami meragui status keupayaan dan integriti syarikat Climate Protector Sdn Bhd dan EcoBit yang memperolehi perjanjian ini, berdasarkan latar belakang syarikat ini yang diragui dari pelbagai aspek,” katanya.

Tambahan pula, ujarnya, kedua-dua syarikat ini telah disenaraihitamkan Bank Negara Malaysia  (BNM) sebagai “unauthorised”, dan salah seorang  ahli Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat terbabit  dalam kes penipuan wang melibatkan skandal BTC Panda.

Kes itu, katanya, mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit di negara Indonesia dan Filipina.

“Kami risau sekiranya projek yang asalnya berniat baik ini akhirnya dipergunakan oleh syarikat berkenaan untuk satu lagi jenayah penipuan wang orang awam, berdasarkan 11 buah laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa penipuan  berkenaan,” katanya.

Menurut Hazmi, demi maruah dan integriti negeri Kelantan, Menteri Besar perlu membuat laporan polis terhadap Climate Protector Sdn Bhd.

Seterusnya, katanya, beliau perlu memohon kepada pihak berkuasa agar membekukan sejumlah besar wang yang telah diperoleh syarikat berkenaan, sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

Beliau menyeru pertimbangan wajar dan kebijaksanaan Menteri Besar dalam menyelesaikan isu ini, agar kepentingan, maruah, integriti dan imej pihak Kerajaan Negeri Kelantan terpelihara dari terus dikaitkan dengan syarikat yang meragukan itu. – Sarawakvoice