Pemilik abai tuntut hampir 160,000 MyKad di JPN, denda akan dinaikkan

PEKAN: Sikap ambil mudah dan tidak peduli pemilik berkaitan dokumen pengenalan diri menyebabkan hampir 160,000 kad pengenalan MyKad yang sudah siap belum dituntut dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bahkan, ada MyKad yang sudah melebihi tempoh simpanan dua tahun tidak dituntut di JPN.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Hab Percetakan Teragih MyKad Negeri Pahang di JPN Pekan berkata pihaknya bercadang mengenakan tindakan lebih tegas mengelak pemilik mengabaikan tuntutan MyKad mereka.

Setakat ini individu yang gagal mengambil kad pengenalan yang siap boleh hanya didenda maksimum RM40.

Yazid berkata 55 pejabat JPN di seluruh negara, kini dibekalkan dengan mesin pencetak melalui projek Percetakan Teragih MyKad (DPP) untuk penambahbaikan.

Sebanyak 36 daripada pejabat DPP dijadikan Hab DPP yang dapat mencetak permohonan MyKad dari 157 pejabat JPN berdekatan (Subhab).

Projek Hab DPP dapat mempercepat urusan pengeluaran MyKad dengan penjimatan tempoh siap antara 50 hingga 70 peratus.

Bagi Sarawak dan Sabah tempoh serahan MyKad bagi pejabat Subhab dapat dipendekkan daripada 30 hari bekerja kepada tujuh hari bekerja.

Manakala, bagi Semenanjung tempoh serahan disingkatkan daripada 10 hari bekerja kepada lima hari bekerja.

Sebelum ini, JPN turut bercadang memendekkan tempoh sah guna dokumen MyKad sementara daripada tiga bulan kepada hanya 30 hari.

Hal ini bertujuan mengelak pemilik menggunakan dokumen pengenalan sementara yang sudah tamat tempoh untuk urusan penting, padahal MyKad mereka sudah siap.

Pemilik perlu menyedari pentingnya MyKad untuk urusan seharian mereka lebih-lebih lagi melibatkan urusan rasmi.

MyKad kini dilengkapi lebih 10 ciri keselamatan, selain bercirikan antiklon. – Sarawakvoice