Mungkin jodoh David Usop dan Sarawak berakhir?

Prestasi yang begitu mengecewakan, rentetan kekalahan berterusan, termasuk dimalukan 1-3 oleh Felda United di gelanggang sendiri malam tadi, mungkin petanda jodoh David Usop dan Sarawak mungkin akan berakhir.

Desakan kuat mula kedengaran sejak malam tadi oleh kalangan penyokong, malah pentadbir persatuan itu sendiri, berikutan keputusan menyedihkan, tidak sekali pun menang di laman sendiri dalam aksi Liga Super mahupun Piala Malaysia.

Dengan berada di kedudukan ke-10 dan sekadar mengutip 14 mata, suara-suara sumbang menuntut David direhatkan.

“Kalau dahulu kita terima bahawa mungkin kelemahan pemain menjadi punca.

“Pemain import Mark Hartmann dan Lee Jongho telah dibebaskan, namun prestasi masih mengecewakan.

“Kita mempunyai pemain-pemain yang berbakat, tetapi masih gagal memberikan penyudah yang membahagiakan,” kata salah seorang pengendali persatuan yang ditemui.

Jelas minat penyokong terhadap David semakin pudar dan ramai yang mengkritik, mengatakan punca kekalahan adalah pengendalian dan taktikal.

“Pemain sudah ditukar, tetapi prestasi masih sama. Bermakna yang bermasalah adalah jurulatih,” kata seorang peminat di Facebook yang dikenali sebagai Wahab Dollah.

Sementara itu, sumber Persatuan Bola Sepak Sarawak memberitahu, situasi David kini genting, kerana pihak pengurusan sedang menilai kembali peranannya.

“Mungkin direhatkan. Atau diberi pilihan lain. Perbincangan rapi sedang dilakukan,” kata sumber itu lagi.

Jika ini berlaku, ia adalah pengendali ketiga yang dilepaskan pertengahan musim selepas Robert Alberts dan Datuk K Rajagobal berikutan prestasi suram. – Sarawakvoice