LHDN kutip lebih RM56b cukai setakat awal Julai

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai berjumlah lebih RM56 bilion hingga awal Julai tahun ini, mengatasi kutipan RM55 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pencapaian itu sekali gus memberi keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran RM127.7 bilion kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan tahun ini.

“Melalui rekod yang dicatatkan ini, sekali gus menidakkan kata-kata yang sebelum ini mengatakan hasil negara kita makin berkurangan dan ia adalah tidak berasas,” katanya.

Mohd Irwan berkata, perkembangan ekonomi negara juga menunjukkan peningkatan dari segi pelaburan manakala aliran masuk dana luar ke dalam pasaran saham serta bon kerajaan semakin mengukuh.

Malahan, katanya, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga meningkat dan kini berjumlah lebih AS$98 bilion (RM420.95 bilion).

Beliau berkata, Malaysia turut mendapat banyak pengiktirafan indeks dan penarafan baik yang meletakkan negara sebagai antara destinasi pelaburan terpenting atau pilihan utama.

“Malahan banyak lagi syarikat antarabangsa yang datang merisik untuk melabur di negara kita.

“Sehubungan itu, kita harus membuat pilihan yang tepat terutamanya syarikat yang mampu membawa teknologi tinggi tanpa kebergantungan tenaga kerja yang banyak dari segi pekerja migran (pekerja asing),” katanya. Bernama