Kos sara hidup: Kerajaan digesa panggil semua pihak

KUALA LUMPUR:  Kerajaan digesa  memanggil semua pihak termasuk daripada  parti politik pembangkang, badan bukan kerajaan dan tokoh perseorangan yang lain bagi menyumbang idea penyelesaian yang lebih tuntas berkaitan isu peningkatan kos sara hidup di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada 2014 yang kini dipengerusikan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri masih belum menampakkan hasil yang sepatutnya.

Jawatankuasa Khas tersebut dibentuk khusus bagi menangani isu kos sara hidup dan bekerja  seiring dengan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ironi sekali, kata Mohd Khairuddin, selepas tiga tahun penubuhan jawatankuasa tersebut, kos sara hidup rakyat gagal dipulihkan dengan menyeluruh dan berkesan.

“Kerajaan masih teruja melaksanakan dasar konsolidasi fiskal atas nama memulihkan pengurusan fiskal, tetapi memeras rakyat terbawah yang akhirnya membebankan rakyat itu sendiri. Keadaan turut bertambah meruncing dengan pelaksanaan GST yang bermula 1 April 2015. Bukan sahaja perbelanjaan orang perseorangan dan isi rumah yang terjejas, malah syarikat persendirian turut terkena tempiasnya,” tambahnya.

Katanya, kajian  Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Prof Madya Dr Mohamad Fazli Subri menunjukkan 59.7 peratus penduduk di ibu kota terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

“Gologan miskin bandar semakin bertambah dan meruncing,” katanya.

“Pemotongan bajet dan pengenalan cukai GST yang dilaksana Kerajaan bukanlah memberi manfaat kepada rakyat, malah bebanan pula sebaliknya semakin bertambah dari sehari ke sehari,” jelasnya.

Kerajaan  sebelum ini menyatakan ingin mengkaji elemen yang menyumbang kepada kos sara hidup di kawasan bandar.

“Apakah Kerajaan tidak sedar satu tangan mereka kelihatannya ingin membantu mengurangi bebanan kos sara hidup tetapi satu tangan yang lain sedang menambah luka kepada rakyat dengan dasar-dasar dan polisi yang meningkatkan kos sara hidup rakyat?,” tanyanya.

Beliau menggesa Kerajaan agar menghapuskan GST dan menggantikannya dengan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Keuntungan Saham.

Selain itu, jelasnya, pelepasan cukai Duti Eksais 60 peratus yang dikenakan ke atas kenderaan di bawah 1500 cc mesti diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah dalam kalangan B40 bagi mengurangkan kos untuk mereka memiliki kenderaan pertama.

“Pelepasan ini boleh dilaksanakan dalam bentuk pemberian rebat. Saya pernah mencadangkan perkara ini sebelum ini,” tambahnya. – Sarawakvoice