Jualan atas talian: 30,000 aduan penipuan, penyangak ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: Akan sentiasa ada penyangak yang mengambil kesempatan untuk menipu daripada sesuatu sistem yang diwujudkan.

Mudah.my, portal jualan atas talian yang terkenal juga berdepan masalah penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan terdapat sekitar 30,000 aduan diterimanya berkaitan penipuan di portal berkenaan sejak tahun lalu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, menerusi portal itu, pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya boleh mempamerkan iklan sesuatu produk tanpa perlu menyertakan nombor pendaftaran syarikat atau sebagainya.

Katanya, keadaan itu semakin membimbangkan, lantas memerlukan tindakan segera  pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, pengendali portal itu sepatutnya meminta individu atau syarikat untuk mengemukakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melindungi hak pengguna.

“Sekarang ini, dengan hanya mendaftar satu akaun e-mel baharu, sesiapa sahaja boleh menjual produk atas talian dan ini menggalakkan penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.

“SKMM boleh membuat satu kaedah penjual berdaftar menggunakan kad pengenalan atau sijil SSM. Mesti ada kaedah, bukan susah pun,” katanya. – Sarawakvoice