Jangan percaya dengan sindiket tawarkan lesen memandu di media sosial

MARANG: Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan sindiket yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tersebar di media sosial terutama Facebook.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata sebelum ini ada pihak yang menjual lesen memandu palsu pada harga antara RM1,000 sehingga RM1,500 yang tidak akan disenaraikan dalam sistem JPJ.

“Perkara ini kita telah laporkan kepada polis untuk siasatan lanjut kerana ia tidak benar dan semalam kes yang sama muncul di Perak dan hal ini ada dalam perhatian kita.

Setakat ini perkhidmatan dalam talian hanya boleh dibuat pada portal rasmi JPJ sahaja dan hanya ada tujuh transaksi sahaja yang boleh dibuat dalam portal kita,” kata beliau yang ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah JPJ Negeri Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri merangkap Anggota Dewan Undangan negeri Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang.

 Kata beliau, sehingga kini pihaknya tidak melantik mana-mana ejen untuk membuat sebarang perkhidmatan.

“Perkara ini berlaku kebiasaannya berlaku apabila mangsa melakukan transaksi dalam talian untuk mendapatkan lesen tapi tertipu. Kebanyakan mereka telah membuat pembayaran tetapi lesen palsu tidak sampai kepada mereka.

Saya nasihatkan kepada orang ramai terutamanya jika ada apa-apa dalam Facebook mengenai kita (JPJ) atau apa-apa agensi kerajaan, sila rujuk terlebih dahulu sama ada perkara itu sahih ataupun tidak,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 282 siri program SKSJ telah dilaksanakan di seluruh negara dan lebih 12,291 calon  berumur 45 tahun ke atas mendapat manfaat daripada program berkenaan. Bernama