Dunia Islam terhutang budi kepada dasar berani Malaysia – Ghannouchi

PUTRAJAYA: Pengasas dan pemimpin Parti Ennahda dari Tunisia, Rachid Ghannouchi  berkata Muslim di seluruh dunia terhutang budi kepada dasar Malaysia berkaitan isu mengenai  umat  Islam.

Menyifatkannya sebagai keputusan berani, beliau berkata umat Islam akan menghargai usaha Kerajaan Malaysia dalam meningkatkan kesedaran dan menyuarakan sokongan kepada Muslim di Palestin, selatan Filipina dan selatan Thailand juga etnik Rohingya di Myanmar.

“Kami hargai lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza.  Tidak mudah untuk berbuat demikian kerana ia memerlukan personaliti yang berani berbuat demikian.  Justeru, umat Islam terhutang  budi  kepada dasar berani yang diambil Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu sidang media selepas bertemu Najib di Seri Perdana di sini semalam.

Najib melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza pada 22 Jan, 2013, semasa lawatan rasmi ke Mesir untuk menunjukkan sokongan yang padu dan teguh Malaysia dan rakyatnya kepada  perjuangan rakyat Palestin.

 Ghannouchi, 76 yang dalam lawatan tujuh hari ke Malaysia sebagai tetamu negara sejak Ahad lepas atas jemputan Najib, menghadiri pertemuan  selama tiga jam dengan perdana menteri yang membincangkan isu berkenaan umat Islam dan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Tunisia.

Semasa pertemuan berkenaan, pemimpin politik Tunisia itu juga menggesa Kerajaan Malaysia supaya melabur dan berkongsi kepakaran di negara Afrika Utara dan rantau itu selain melibatkan diri dalam pembangunan dalam negara itu dan rakyatnya.

“Kami juga mencari lebih peluang bagi penuntut Tunisia melanjutkan pengajian di universiti dalam Malaysia dan kami juga menzahirkan kesediaan kami untuk menggalakkan penuntut Malaysia melanjutkan pengajian mereka dalam Bahasa Arab dan Sains Islam di Tunisia.

“Jadi, memang ada platform kukuh untuk menggalakkan dan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Tunisia, “ katanya. Bernama